C4 Center tuntut penjelasan terbuka

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mengemukakan tuntutan tiga perkara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan, C4 Center menggesa Peguam Negara memberi penjelasan terbuka sepenuhnya dengan menggariskan alasan yang menyokong permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk DNAA Timbalan Perdana Menteri itu.

“Sekiranya alasan AGC tidak mencukupi untuk menyokong permohonan berkenaan, maka 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Ahmad Zahid hendaklah dikembalikan,” kata kenyataan itu.

Badan itu berkata justifikasi diberikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar dalam permohonan pada prosiding di Mahkamah Tinggi tidak mencukupi untuk dibuktikan.

Pada masa yang sama C4 Center menggesa pengasingan segera AGC dan Pejabat Pendakwa Raya untuk mengelak campur tangan pertimbangan politik dalam keputusan pendakwaan dan budi bicara.

C4 Center juga menggesa AGC mewujudkan tata kelakuan pendakwaan untuk menetapkan dengan jelas prinsip yang harus dipatuhi pendakwa raya ketika menjalankan pendakwaan dan menggunakan budi bicara mereka untuk menghentikan kes, yang menyamai tata kelakuan Pendakwa Raya United Kingdom (UK).

Menurut C4 Center, Mohd Dusuki menyatakan bahawa perkara baharu dibangkitkan melalui surat representasi Ahmad Zahid kepada AGC yang mesti disiasat dan ia tidak mencukupi untuk mewajarkan pemberhentian prosiding pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Justeru, katanya, persoalan timbul apakah perkara yang dibangkitkan dalam surat representasi itu tidak dipertimbangkan sebelum ini atau tersedia di awal kes.

“Pada peringkat ini, adalah menjadi tanggungjawab pembelaan untuk menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Jika isu dan fakta baharu benar-benar menyangkal bukti dan keterangan pendakwaan, mahkamah hendaklah membebaskan Ahmad Zahid atas dasar kesalahannya tidak dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Lebih-lebih lagi seperti dinyatakan hakim bahawa keputusan untuk menghentikan prosiding pada peringkat ini membazirkan masa mahkamah dan wang pembayar cukai, serta menimbulkan lebih banyak ketidakpastian.

“Oleh itu, AGC memikul beban berat untuk memberikan penjelasan menyeluruh kepada masyarakat mengenai mengapa keputusan ini dibuat,” kata kenyataan itu.

Pada Isnin lalu, Mohd Dusuki memohon untuk memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan dengan 47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya yang memberikan kesan beliau dilepas tanpa dibebaskan.

Selepas menimbangkan hujahan Mohd Dusuki bahawa siasatan perlu dijalankan berhubung dakwaan bukti baharu oleh Ahmad Zahid, Hakim  Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan berkenaan dan melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid yang didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, sedang membela diri pada peringkat ini dengan 15 saksi termasuk dirinya sudah memberikan keterangan.

Sementara itu, C4 Center membangkitkan status Ahmad Zahid sebagai tertuduh dalam kes ini yang juga sebagai sebahagian daripada individu kritikal dalam cabang Eksekutif negara, sebagai contoh utama bahaya yang wujud apabila AGC dan Pendakwa Raya tidak dipisahkan.

Katanya, ia menunjukkan terdapat kemungkinan tidak dapat dielakkan bahawa keputusan mengenai pendakwaan terhadap tokoh politik utama boleh dibuat atas pertimbangan selain daripada tuntutan keadilan.

C4 Center juga mengambil maklum bahawa Peguam Negara,  Idrus Harun sedang bercuti sebelum bersara dan ketika ketiadaannya itu Ahmad Terrirudin Mohd Salleh selaku Peguam Cara Negara bertindak sebagai Pendakwa Raya sehingga permulaan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa semalam mengikut Seksyen 376(2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami berpendapat keputusan besar ini tidak sepatutnya dibuat dalam tempoh interim di pejabat Peguam Negara/ Pendakwa Raya kerana ia membawa spekulasi mengenai siapa sebenarnya bertanggungjawab membuat keputusan untuk memohon DNAA dalam kes ini.

“Implikasi keputusan ini sangat teruk iaitu membebaskan Timbalan Perdana Menteri yang juga ketua anggota kerajaan campuran di peringkat ini tanpa sebarang alasan berasas dan ia jelas menimbulkan keraguan dalam integriti sistem keadilan jenayah negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment