KOTA BHARU 6 Sept. – Qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang muncul juara kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, baru-baru ini akan menerima hadiah sebuah banglo.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata hadiah bernilai RM428,500 yang akan diberi dalam tempoh terdekat adalah bagi menghargai jasa Muhammad Qayyim yang mengharumkan nama negeri.
“Kita sedang meninjau banglo yang dibina anak syarikat kerajaan negeri, …yang ada sekarang ini di Tanah Merah.
“Kalau dulu kita bagi banglo di Machang kepada qari Kelantan yang menjadi juara peringkat antarabangsa,” katanya selepas Mesyuarat Exco hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Nassuruddin berkata, pemberian itu sebagai galakan kepada orang lain untuk terus maju dalam bidang al-Quran.
Muhammad Qayyim Nizar Sarimi muncul juara kategori lelaki pada MTHQA ke-63 baru-baru ini apabila memperoleh markah 94.96 peratus.
Sebelum ini, Mohd Nassuruddin menyifatkan kejayaan qari itu merupakan satu detik bersejarah kepada negara dan negeri dengan keistimewaan membaca al-Quran menggunakan naskah al-Quran Braille.
Beliau berkata, ini menunjukkan ketinggian mukjizat al-Quran yang sentiasa dijaga kemulian oleh Allah SWT.
“Kerajaan negeri akan meneruskan usaha-usaha memartabatkan generasi al-Quran dan menyeru agar seluruh rakyat negeri Kelantan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup seharian,” ujarnya.
