Mereka boleh terus bermimpi – Anwar

JOHOR BAHRU 3 Sept. –  Kerajaan Perpaduan akan terus bertahan dalam tempoh satu penggal akan datang berdasarkan prestasi ekonomi dan kemasukan pelaburan asing baharu ke dalam negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan yang dikecapi dalam tempoh lebih lapan bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah hasil tumpuan tenaga seluruh parti dalam kerajaan.

Justeru katanya, Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir negara berteraskan Ekonomi Madani bagi menjaga kebajikan rakyat biarpun inisiatif yang diperkenal ditolak atau diperlekeh oleh pembangkang.

“Oleh kerana kita buat perubahan ini (dasar dan inisiatif bantu rakyat), mereka (pembangkang) tidak tahan… nak cakap kita (Kerajaan Perpaduan) tak buat kerja sedangkan mereka tahu kita buat kerja.

“Mereka boleh terus bermimpi untuk ambil alih kerajaan Persekutuan di saat Kerajaan Perpaduan terus jalankan kerja selamatkan negara dan rakyat berteraskan Ekonomi Madani,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Uda Utama, Perling malam tadi.

Hadir sama Presiden Amanah,  Mohamad Sabu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.

Anwar juga mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan antara kaum.

Beliau terbuka untuk dikritik namun sebarang cubaan menghasut rakyat sehingga mencetuskan konflik dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya tidak setuju Akta Hasutan dikenakan kepada yang kritik Perdana Menteri dan kerajaan tetapi kita tidak bertolak ansur jika ada yang cuba menghasut atau fitnah hingga sentuh isu 3R (Raja, Bangsa, Agama) … biar polis ambil tindakan.

“Kamu boleh kritik apa sahaja dan siapa pun… tetapi jika kamu guna sentimen, hasut orang Melayu benci Cina, hasut orang guna agama tuduh orang lain kafir… saya tegaskan saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Katanya, rakyat mesti menolak politik kebencian dan ekstremis yang kononnya DAP menghalang Kerajaan Perpaduan membantu rakyat khususnya  Melayu sedangkan parti itu sentiasa menyokong segala inisiatif untuk rakyat tanpa mengira kaum.

“DAP bersama PH, kalau DAP tolak Perlembangaan Persekutuan, kita lawan dia, kalau dia tak terima Islam sebagai agama Persekutuan, kita lawan… tapi sebaliknya mereka terima,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya  Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Related posts

Leave a Comment