3R: Dr Mahathir terus bersuara

MUAR 3 Sept. – Dr Mahathir Mohamad menegaskan pendiriannya untuk terus bersuara mengenai isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) walaupun sudah sembilan kali dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung isu berkenaan.

“Nak siasat, siasatlah… ini sudah sembilan kali saya dipanggil. Selepas ini 10, 11 (kali)… tak apa, kita akan kira berapa kali dipanggil,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Markas Pas Kawasan Bakri, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan , Dr Dominic Lau; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin; dan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya.

Dr Mahathir turut mengulangi dakwaannya bahawa larangan membangkitkan isu 3R adalah tidak perlembagaan.

“Saya baca Perlembagaan beberapa kali, hendak cari adakah Perdana Menteri boleh membuat undang-undang sedangkan yang boleh buat (undang-undang) adalah Dewan Rakyat.

“Dia (Perdana Menteri) nak tutup mulut kita bercakap isu 3R, apa hak dia? Tetapi saya tahulah beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh suruh polis soal saya.

“Saya nak cakap juga untuk bangsa saya. Saya tak nak melihat bangsa saya hilang negara.

“Saya tahu apa yang diucapkan di sini akan dicatat pihak tertentu… saya kena panggil pula lagi. Kalau tanya kenapa cakap macam itu, jawapan saya senang saja… kalau salah dakwa di mahkamah. Selepas itu, bolehlah saya jawab di mahkamah.

“Namun, mereka kata ada undang-undang yang mana mereka boleh tangkap saya tetapi tidak perlu dibawa ke mahkamah,” dakwanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir pada 29 Ogos lalu berkaitan kenyataan yang berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam satu kenyataan berkata bekas Perdana Menteri itu dirakam keterangan bagi membantu siasatan, pada 29 Ogos.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, larangan yang dibuat terlalu umum sehingga rakyat takut disalahkan apabila menyebut bangsa, agama dan raja.

“Polis ikut penceramah seolah-olah hendak cekup mereka. Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka. Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat,” soalnya.

Related posts

Leave a Comment