Had sekali seumur hidup tunai haji

JAKARTA: Pemerintah Indonesia masih mengkaji rancangannya untuk membenarkan umat Islam negara ith menunaikan haji hanya sekali dalam seumur hidup mereka, kata Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas.

“Kita masih perlu menyemak semula idea itu sama ada ia adalah keputusan yang tepat atau tidak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Hal Ehwal Kebudayaan, Muhadjir Effendy, yang mencetuskan idea mengehadkan ibadah haji berkali-kali kerana ramai yang terpaksa menunggu giliran terlalu lama sehingga menjangkau berpuluh tahun.

Walaupun ramai individu yang mempunyai kemampuan untuk menunaikan ibadah haji berkali-kali, beliau menegaskan keutamaan harus diberikan kepada mereka yang telah menunggu selama bertahun-tahun dan belum menunaikan ibadat itu.

Menurut Yaqut, pihaknya sedar terlalu ramai yang terpaksa menunggu lama untuk lakukan ibadah haji dan jika alasan mengehadkan ibadah haji berkali-kali kerana masalah menunggu lama, beliau berpandangan langkah tersebut adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

Beliau mendapati, jemaah yang menunggu giliran mereka sebelum ini telah menunaikan haji dan mereka bukan kali pertama melakukannya.

Data Kementerian Hal Ehwal Agama menunjukkan seseorang itu boleh berada dalam senarai menunggu bermula dari 11 tahun hingga 48 tahun, bergantung kepada wilayah.

Purata masa menunggu bagi mereka yang tinggal di Jakarta dengan bilangan penduduk tertinggi ialah sekitar 28 tahun.

Indonesia mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia. Pemerintah pada awal tahun ini melaporkan bahawa umat Islam membentuk 87 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

Pada tahun ini,  seramai 221,000 jemaah haji Indonesia telah mengerjakan haji berdasarkan kuota haji yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Related posts

Leave a Comment