Thaksin siap dokumen pengampunan

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sedang menyediakan dokumentasi untuk memfailkan permohonan pengampunan diraja, kata peguam yang mewakilinua Wiyat Chartmontri.

Thaksin yang sebelum ini berada dalam buangan, kembali ke Thailand selepas menghabiskan 15 tahun di luar negara.

Selepas mendarat dengan jet peribadi, beliau dipindahkan ke penjara untuk menjalani hukuman lapan tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan saki baki tuduhan konflik kepentingan ketika zaman pentadbirannya.

Beberapa jam selepas ketibaannya, Srettha Thavisin, dari parti Pheu Thai yang disokong keluarga Shinawatra, dilantik menjadi perdana menteri.

Ia mencetuskan spekulasi bahawa Thaksin mencapai perjanjian dengan bekas musuh beliau yang menggulingkan kerajaannya pada 2006 dan 2014, namun Thaksin dan parti Pheu Thai menafikan perkara ini.

Pada malam pertamanya di Thailand, beliau dipindahkan ke hospital polis akibat sakit dada dan tekanan darah tinggi.

Hari ini, Wiyat memberitahu bekas perdana menteri itu sedang menyediakan permohonan untuk pengampunan diraja.

“Thaksin akan meneruskan perkara itu sendiri dan kini dalam peringkat persediaan dokumentasi dan merangka permohonan itu. Bila permohonan itu dikemukakan adalah mengikut budi bicara Thaksin sendiri,” kata Wiyat,

Walaupun tinggal di luar negara selama 17 tahun, kebanyakannya di Dubai dan Britain, sejak digulingkan dalam rampasan kuasa 2006, Thaksin kekal sebagai tokoh paling digemari dalam politik Thailand.

Parti kekal setia kepadanya sehingga tahun ini, memenangi setiap pilihan raya dalam dua dekad yang lalu.

Kumpulan anti-Thaksin membuat petisyen untuk menghalang sebarang cubaan untuk mendapatkan pengampunan dengan  alasan kes rasuah tidak sepatutnya mendapat pengampunan.

Related posts

Leave a Comment