“Dulu mereka marah Pas kerjasama dengan UMNO”

MUAR 30 Ogos – Jika kelmarin Mohamad Sabu mendakwa Pas keluar Pakatan Rakyat untuk berbaik dengan UMNO, semalam Pas pula ‘mendedahkan’ pemimpin Amanah itu keluar Pas kerana marahkan parti itu mahu berbaik dengan UMNO.

Naib Presiden Pas,  Idris Ahmad berkata, sebaliknya apa yang berlaku sekarang, Amanah pula menjalinkan kerjasama rapat dengan UMNO dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).

“Presiden dia kelmarin mahu buat pendedahan besar. Kita ingatkan dia nak bagi tahu apa.. rupa-rupanya bagi tahu Pas keluar daripada Pakatan Rakyat bukan kerana hudud tetapi kerana sebab Pas nak berbaik dengan UMNO.

“Tak terasa hati ke kawan UMNO yang sepentas dengan dia? Ini menunjukkan sifat benci marah kepada UMNO masih ada lagi,” ujar beliau pada ceramah kelompok di UDM Sri Tanjong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) dekat sini, malam tadi.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, Pas menghulurkan persahabatan dengan UMNO sebelum ini atas konsep ta’awun dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan ummah, bangsa dan agama.

Sebaliknya, pemimpin Amanah tidak menceritakan mereka keluar Pas kerana tewas pada muktamar yang diadakan pada tahun 2015.

“Dan mereka tak nak bersama dengan Pas kerana pada mereka Pas berbaik-baik dengan UMNO, nak jeling-jeling dengan UMNO. Sampai ke peringkat itu kemarahan mereka kepada UMNO. Takkan orang UMNO boleh menerima Amanah,” katanya.

Beliau juga berkata, Pas mengambil keputusan untuk berbaik dengan UMNO terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 setelah kuasa politik Melayu lemah.

Kata beliau, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini membentuk 65 peratus daripada jumlah penduduk, tetapi politik negara dikawal oleh 35 peratus penduduk yang diketuai DAP.

“Berikutan itu kita mengadakan Muafakat Nasional untuk memastikan perpaduan ummah berlaku bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu-Islam.

“Inilah sikap Pas yang mengepalai usaha menyatukan ummah. Segala tuduhan yang pernah dilemparkan UMNO kepada Presiden Pas tidak menghilangkan usaha penyatuan ummah,” katanya.

Beliau berkata, inilah sikap Pas yang mengepalai usaha menyatukan ummah yang melupakan segala tuduhan yang pernah dilemparkan UMNO kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tetapi tidak menghilangkan usaha penyatuan ummah.

Dalam pada itu, Idris berkata, ada dalam kalangan orang UMNO ada berkata kalau itu sikap mereka benci (pada UMNO), mereka tidak akan memberi undi pada calon Amanah dalam PRK ini.

“Mula-mula ada juga mereka pujuk ahli UMNO supaya memberi sokongan pada calon PH, tetapi dengan ucapan itu nak dapat undi pun susahlah. PH perlu 4,000 undi daripada UMNO untuk menang, tadi saya jumpa cawangan UMNO dia kata nak dapat 400 undi belum tentu,” katanya.

Ini kerana ahli-ahli dan penyokong UMNO di peringkat akar umbi masih memberontak, tidak boleh menerima parti itu yang dilihat cenderung untuk menjadi ‘khadam’ DAP.

Katanya, mereka mendedahkan tidak puas hati kerjasama UMNO dengan PH ketika sesi pertemuan semasa aktiviti kempen malahan mereka bimbang situasi yang menimpa Amanah yang sering membela pemimpin DAP berulang kepada UMNO pula.

Related posts

Leave a Comment