Tolak kerjasama dengan parti muslihat

PUTRAJAYA  30 Ogos – UMNO tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat, kata Presidennya,  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan, kerana penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (UMNO) harus revisit hubungan itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika diminta mengulas laporan Pas masih terbuka meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO.

Beliau ditemui media selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di sini malam tadi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas  Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Pas masih mengambil sikap sedemikian, memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

Reaksi Tuan Ibrahim itu adalah sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO  Tajuddin Abdul Rahman, yang menyatakan keperluan supaya semangat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali, khususnya membabitkan dua parti itu.

Tajuddin  mahu kedua-dua parti menghidupkan semua MN demi memperjuangkan agenda orang Melayu.

Tajuddin berkata orang Melayu masih rugi walaupun Pas menang besar pada PRN enam negeri lalu, kerana mereka dilihat berpecah belah dan lawan sesama sendiri untuk mendapatkan kuasa.

Related posts

Leave a Comment