PUTRAJAYA 30 Ogos – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan akan mempertahankan hak setiap rakyat dan mengangkat martabat Malaysia supaya muncul sebagai negara hebat serta gagah.
Justeru beliau mengingatkan sebarang usaha yang mungkin melemahkan semangat kejituan dan perpaduan dalam rakyat pelbagai kaum harus dielakkan.
Tegasnya, sejarah membuktikan hancurnya tamadun sesebuah negara bukan sahaja kerana tata kelola dan rasuah, bahkan api perkauman dan kefanatikan agama yang dimainkan.
“Jangan diremehkan perkara ini kerana ada negara yang hebat, muncul sebagai negara gagah dengan tamadun hebat, tetapi hancur bukan sahaja kerana tatakelola dan rasuah, malah dimainkan api perkauman serta fanatik agama.
“Lihat sahaja negara berkembang lain, malah negara maju, bahawa perbezaan itu boleh menjadi kekuatan dan perbezaan itu juga boleh merosakkan sendi masyarakat serta kekuatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2023 di hadapan lebih 6,000 hadirin serta secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta barisan anggota Kabinet.
Anwar berkata, masalah dihadapi negara ini tidak membabitkan kaum atau perbezaan budaya dan agama, sebaliknya syak wasangka serta permusuhan yang menjadi pilihan segelintir kecil.
Beliau berkata, semua pihak harus menerima kenyataan dan tiada sesiapa harus mempertikaikan peruntukan mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan InsyaAllah akan terus tegak hebat dengan memperakui kontrak sosial antara semua kaum dan jaminan semua bahawa hak setiap warganegara mengamalkan agama mereka, memuliakan budaya mereka termasuk suku kaum mereka tetap dipertahankan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai negara madani yang boleh mengangkat martabat semua rakyat dan martabat itu hanya boleh diangkat sekiranya dasar keterlanjuran itu boleh dihindari.
“Kita boleh buat pilihan untuk terus mengadu domba, syak wasangka, permusuhan politik dan kaum atau kita boleh memilih untuk menyatakan ‘sudahlah’. Jadi marilah kita gunakan dan memanfaatkan waktu ini untuk merangka strategi serta bekerja sedaya upaya,” katanya.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66, Perdana Menteri juga mengajak semua rakyat memaknai erti sebenar jiwa dan fikiran yang merdeka.
Tegasnya, semua peringkat daripada pimpinan sehingga rakyat bawahan harus mendalami bahawa negara ini adalah amanah yang perlu dijaga sebaiknya.
“Sebab itu, dari penghulu ke ketua kampung hinggalah ke Pejabat Perdana Menteri, mesti melahirkan jiwa yang merdeka dan tidak sanggup melihat negara ini dijadikan perkakas untuk peroleh habuan bagi golongan elit,” katanya.
