PUTRAJAYA 29 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) bermula huruf M diikuti nombor dan berakhir sekali lagi dengan huruf M, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bidaan itu akan dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).
“Tanda indeks nombor istimewa ini dipilih dengan membawa maksud dan lambang Malaysia Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Loke berkata, tarikh tutup bidaan NPI itu ialah 4 September depan dan keputusan akan diumumkan pada keesokannya.
Beliau berkata, kaedah penawaran bidaan itu tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.
Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).
Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“Saya berharap bidaan ini dapat menjana pulangan yang tinggi kepada kerajaan,” katanya.
Untuk rekod, JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berjaya mendapat pulangan sebanyak RM34.2 juta.
