Modul itu tepat pada masa – Pas

KOTA BHARU 27 Ogos – Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 289 sekolah kerajaan sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang memberi keutamaan kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian yang mulia.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pihaknya  menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan yang melibatkan 289 sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid beragama Islam.

Justeru, Pas dukacita dengan laporan mengenai sebuah kumpulan mewakili agama bukan Islam iaitu Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang melihat tindakan kementerian itu tidak berperlembagaan.

“Dalam Akta Pendidikan 1996, Seksyen 50(1): ‘Jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka mereka hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri’.

Pembangunan kurikulum pengajaran agama Islam dalam arus pendidikan perdana bukanlah baharu, malah sudah berjalan dengan baik melalui beberapa perubahan mata pelajaran seperti Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Tasawwur Islam, j-QAF, Tamadun Islam dan beberapa modul lain dalam bentuk formal dan tidak formal.

“Sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, adalah amat wajar sekali, pengajaran agama Islam menjadi keutamaan dan tanggungjawab ke atas Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, dalam sistem pendidikan di negeri di Malaysia termasuk di bawah pentadbiran Pas turut menekankan keutamaan ilmu fardu ain dalam pelaksanaan pendidikan.

“Sebagai contoh di Kelantan, amalan terbaik keutamaan ilmu fardu ain dijadikan indeks utama dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani yang selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta bertujuan melahirkan insan seimbang dan harmoni berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Sebagai sebuah kumpulan agama seharusnya perkara yang berkaitan dengan nilai, budi pekerti, moral dan tingkah laku yang baik seharusnya menjadi pertimbangan utama yang perlu dipersetujui bersama,” katanya.

Justeru, Mohamed Fadzli berkata, Pas ingin mencadangkan modul yang sama disebarkan kepada kumpulan agama berkenaan bagi tujuan perkongsian kepelbagaian nilai dan pengukuhan budaya Malaysia.

Pas turut berpendirian agar isu pengajaran agama Islam yang lain, yang pernah ditimbulkan sebelum ini turut diberi perhatian semula oleh kementerian seperti j-QAF, pemantapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), pertambahan Kelas Aliran Agama (KAA), pengukuhan pengajian tahfiz Ulul Albab, penerusan peruntukan perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR), pengajaran Tamadun Islam di universiti dan pelantikan pakar pendidikan Islam dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Related posts

Leave a Comment