PENJELASAN ANGKA 3 : 3 APRIL, 3 KEMATIAN, 3333 KES, AYAT 33 & SURAH 33
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini tular di media sosial mengaitkan tafsiran ayat al-Quran yang dikatakan mempunyai maksud berkaitan dengan penularan wabak Covid-19. Pelbagai persoalan bermain di minda warganet sama ada ia benar ataupun tidak.
Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan di Facebook berkata mereka yang membuat kenyataan itu telah melakukan pemesongan di luar konteks terhadap ayat-ayat kalam Allah SWT tanpa sandaran ilmu yang benar.
“Tular di media maya berkaitan perkara ini yang secara langsung mengaitkan nas al-Quran surah al-Ahzab ayat 33, seolah-olah menyebut tentang wabak Covid-19 ini dan kaitan dengan larangan keluar rumah.
Dalam ayat 33 surah al-Ahzab yang disebut itu memperihalkan berkenaan akhlak para isteri Nabi SAW yang menunjukkan ketinggian status dan keunggulan mereka yang boleh menjadi teladan kepada seluruh wanita muslimah.
“Antaranya mengenai akhlak ketika berbicara, memelihara diri semasa keluar dari rumah yang hanya wujud keperluan syarak sahaja serta tegahan berhias diri seperti perempuan jahiliah,” katanya.
Kenyataan sama menyebut, masyarakat Muslim termasuk warganet sepatutnya tidak menularkan perkongsian seperti itu tanpa menyelidik kebenarannya kerana bimbang membawa kerosakan kepada masyarakat.
“Apabila diteliti maka didapati bahawa rata-rata lapisan masyarakat menyukai sesuatu yang ganjil dan menularkannya tanpa sebarang semakan dan penelitian terhadap kesahihannya.
“Sikap sebegini jelas akan membawa kepada fitnah dan kerosakan dalam masyarakat. Pendekatan terbaik adalah menyekat sesuatu maklumat yang tidak pasti apabila sampai kepada kita tanpa meluaskannya kepada orang lain,” tulis kenyataan itu lagi.
Pada 3 April lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 3,333.
Keadaan itu menjadikan ada pihak-pihak mengemukakan teori kononnya 3,333 jumlah jangkitan itu ada kaitan dengan tafsiran ayat 33 pada surah ke-33 iaitu surah al-Ahzab yang menyebut waqarna dan menyamakannya dengan korona kerana bunyinya yang mirip.
Ia kemudiannya menimbulkan persoalan hukum apakah pernyataan al-Quran dalam surah itu membuktikan kebenaran wabak Covid-19 termasuk larangan keluar rumah.