Amirudin kekal MB Selangor

KLANG 21 Ogos – Amirudin Shari sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan yang diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, hari ini.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 dan adalah Menteri Besar termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun pada 2018.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos lalu dengan memperoleh 19,678 undi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.

Pada PRN itu, PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala 22 lagi dimenangi calon Perikatan Nasional (PN).

Related posts

Leave a Comment