Exco Selangor : 4 DAP, 3 PKR, 2 Amanah, 1 UMNO

KLANG 21 Ogos – Portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Exco pertama Rabu ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat menerusi satu sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat itu.

Sepuluh anggota Exco mengangkat sumpah petang ini di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Komposisi barisan Exco itu terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH-BN iaitu tiga mewakili PKR, empat DAP, dua Amanah dan seorang lagi mewakili UMNO-BN.

Empat daripada mereka adalah muka lama iaitu Ng Sze Han, Izham Hashim dan Borhan Aman manakala Ng Suee Lim sebelum ini adalah Speaker DUN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, DAP yang bertanding 15 kerusi memperoleh kemenangan penuh, Amanah menang lima daripada sembilan kerusi, PKR) pula menang 12 daripada 20 kerusi dan BN hanya menang dua daripada 12 kerusi.

ADUN Kinrara, Ng Sze Han (PH-DAP) mendahului senarai angkat sumpah diikuti Ir. Izham Hashim – Pandan Indah (PH-Amanah), Borhan Aman Shah – Tanjung Sepat (PH-PKR), Ng Suee Lim – Sekinchan (PH-DAP), Rizam Ismail -Sungai Air Tawar (BN-UMNO).

Turut mengangkat sumpah Najwan Halimi – Kota Anggerik (PH-PKR), Jamaliah Jamaluddin – Bandar Utama (PH-DAP), Papparaidu Veraman – Banting (PH-DAP), Dr Fahmi Ngah – Seri Setia (PH-PKR) dan Anfaal Saari – Taman Templer (PH-Amanah).

Sementara itu, Amirudin berkata, walaupun gabungan PH-BN tidak mendapat dua pertiga kerusi DUN, apa yang lebih penting suara rakyat Selangor terus diangkat dalam pentadbiran di bawahnya.

“Setiap masa tugas selaku Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar memang berat di Selangor tidak kisah kita ada dua pertiga, permintaan rakyat itu tinggi saya rasa semua Exco Kerajaan Negeri kena melaksanakan tugas sebaik mungkin.

“Suara di dalam DUN satu hal, tapi suara rakyat agak kuat, tidak mengira kedudukan akan menyampaikan kritikan dan sebagainya.

“Kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas setiap soalan dibangkitkan, jadi pembangkang kuat tak kuat bukan satu isu pertama, kita kena kerja kuat di Negeri Selangor, permintaan rakyat agak tinggi berbanding situasi dan rakyat di negeri lain,” katanya lagi.

 

Keterangan gambar atas dari kiri

Barisan pertama : Borhan Aman Shah, Najwan Halimi dan  Dr Fahmi Ngah

Barisan kedua : Ng Sze Han, Ng Suee Lim, Papparaidu Veraman

Barisan ketiga : Jamaliah Jamaluddin, Anfaal Saari dan Ir. Izham Hashim

Barisan keempat wakil tunggal UMNO Rizam Ismail

Related posts

Leave a Comment