Laporan awal siasatan siap dalam tempoh 30 hari

PUTRAJAYA 19 Ogos –  Laporan awal siasatan nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu akan disediakan dalam masa 30 hari daripada tarikh kemalangan udara itu berlaku, demikian menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

MOT memaklumkan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) memulakan siasatan teknikal sejak hari kejadian berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

 Dalam satu kenyataan MOT berkata, tujuan utama penyiasatan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan, dengan tujuan menyelamatkan nyawa serta mengelak berlaku kemalangan sama pada masa hadapan.

Dalam kejadian 2.48 petang Khamis lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan kru, terhempas di kawasan Elmina.

Selain mengorbankan semua yang berada dalam pesawat itu, nahas terbabit turut meragut nyawa dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Menurut MOT lagi siasatan itu bukanlah bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

Justeru, MOT memohon orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang bentuk rakaman video atau foto yang relevan, supaya tampil mengemukakannya kepada BSKU bagi membantu siasatan insiden.

Bahan terbabit boleh dihantar melalui emel bsku@mot.gov.my atau hubungi talian khas BSKU 03-8892 1235 (Lt Kol Juma’in Saadon TUDM).

MOT juga memohon kerjasama orang awam yang berada berdekatan tempat kejadian dan menyaksikan kemalangan berkenaan, untuk berhubung dengan BSKU melalui e-mel ataupun talian disediakan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, MOT juga merayu orang awam untuk tidak menyebarluaskan imej serta video mangsa yang terkorban dalam kemalangan udara terbabit.

Menurut kenyataan itu, perbuatan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan dan spekulasi yang bukan sahaja mengganggu siasatan kemalangan udara, tetapi menyinggung perasaan keluarga waris mangsa.

(foto keratan akhbar BH)

Related posts

Leave a Comment