SELEPAS dua kali Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh, Perdana Menteri menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan.
Muhyiddin berkata, kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong itu terkandung dalam peruntukan perlembagaan negara, dan seharusnya rakyat perlu memberikan kepercayaan kepada Baginda, dalam membuat keputusan berkaitan dakwaan Presiden PKR itu memiliki majoriti di Dewan Rakyat.
“Saya sebenarnya tidak mengikuti perkara itu. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku adalah seorang yang bijaksana, faham dari sudut peranan baginda sebagai yang di-Pertuan Agong. Peruntukan dalam perlembagaan dan sebagainya itu, adalah dalam kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong.
Maka kita harus memberikan kepercayaan kepada baginda untuk memutuskan apa yang sepatutnya diputuskan,” katanya dalam sidang media secara langsung di kediamannya di Putrajaya hari ini.
Anwar dalam sidang media khas beberapa jam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, memaklumkan telah mempersembahkan dokumen ‘sahih’ sokongan lebih 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Al-Sultan Abdullah.
Menurut Muhyiddin, beliau percaya Al-Sultan Abdullah adalah orang yang paling layak untuk membuat keputusan dalam hal tersebut, kerana keutamaannya kini adalah untuk menguruskan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.