Jokowi arah atasi pencemaran udara

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan kementerian berkaitan dan agensi pemerintah bukan kementerian untuk mengambil langkah jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mengatasi kualiti udara yang semakin buruk.

Katanya, pihak berkenaan diminta campur tangan dalam usaha meningkatkan mutu udara di Jakarta Raya meliputi kawasan metropolitan termasuk Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.

Dalam satu mesyuarat baru-baru ini, beliau berkata antara langkah perlu adalah

menambah bilangan kawasan lapang hijau di kawasan Jakarta Raya termasuk belanjawan bagi penyediaan ruang tersebut segera disediakan.

Dalam jangka sederhana, pemerintah akan melaksanakan dasar untuk mengurangkan penggunaan kenderaan berasaskan bahan api dan menggalak penggunaan pengangkutan awam.

Tegas Jokowi lagi, untuk pelan jangka panjang, tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim harus diperkukuh.

“Penyeliaan mesti dilakukan dalam sektor perindustrian dan penjanaan tenaga terutama lokasi tumpuan sekitar Jakarta. Kita juga mesti mendidik orang ramai (untuk mengurangkan pelepasan karbon).

Jika perlu, kita harus berani menggalakkan banyak pejabat untuk melaksanakan kerja hibrid, kerja dari pejabat, kerja dari rumah,” katanya.

Media tempatan Indonesia melaporkan Jakarta mencatatkan mutu udara kedua terburuk di dunia di laman web pemantauan mutu udara IQAir, yang meningkat daripada kedudukan keempat sehari sebelum itu.

Sejak Jun, Jakarta telah disenaraikan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia, menurut pegawai kanan sekitaran dan perhutanan kepada media tempatan minggu lalu.

Selepas mesyuarat pada Isnin, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya memaklumkan pemerintah juga sedang mengusahakan cukai pencemaran alam sekitar bagi mengurangkan pencemaran udara Jakarta yang semakin kritikal.

Related posts

Leave a Comment