PRN: Putra muktamadkan keputusan 23 Julai

KUALA LUMPUR : Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) belum memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya negeri di enam negeri Ogos ini, kata Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Katanya, mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti yang berlangsung semalam masih berbelah bahagi di mana ada yang menyatakan perlu bertanding dan ada juga berpandangan tidak perlu.

“Bagaimanapun, saya telah minta masa dan akan memanggil balik mesyuarat biro politik atau ADT selepas kita membuat perhitungan yang muktamad.

“Dalam kata lain, tarikh akhir Putra membuat keputusan muktamad bertanding atau tidak ialah pada 23 Julai ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ADT di ibu pejabat Putra di sini, petang semalam.

Menurut Ibrahim, sebelum tarikh itu, ada beberapa perkara yang sedang dalam perundingan melibatkan parti itu dengan akar umbi dan pihak berkepentingan.

Katanya, selepas perbincangan dan pertemuan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat biro politik pada 22 atau 23 Julai ini, sebelum memaklumkan pendirian parti itu secara muktamad.

Dalam mesyuarat semalam juga, ujarnya, ADT membuat keputusan semua pimpinan parti perlu bergerak ke hadapan memberi komitmen untuk turun ke lapangan bagi mengukuhkan kedudukan Putra supaya diyakini rakyat.

Katanya, Putra perlu secara bersungguh-sungguh membuat persiapan membina kekuatan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang bakal diadakan sekurang-kurang empat tahun dari sekarang.

Ibrahim berkata, Putra perlu lebih bersedia menghadapi PRU-16 berbanding sebelum ini ketika menyertai PRN Melaka, Johor dan PRU-15 dalam keadaan yang tidak bersedia.

“Kita terhimpit dengan masa ketika itu, sebab itu kita tidak mendapat sokongan atau kemenangan daripada rakyat. Berbeza dengan PRU16 ini, kita mungkin lebih bersedia,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim turut mengumumkan barisan kepemimpinan Putra bagi sesi 2023-2026, termasuk pelantikan ADT yang baharu dan memperkenalkan pengerusi biro, pengarah dan ketua penyelaras.

Pada Persidangan Agung Putra keempat baru-baru ini, beliau kekal sebagai Presiden yang juga Pengerusi Biro Politik dan Agenda Nasional dan Timbalannya, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir sebagai Pengerusi Biro Pengurusan & Penubuhan Bahagian/Cawangan.

Tiga Naib Presiden ialah Datuk Asmawar Samat@Samad (turut dilantik Pengerusi Biro Membasmi Kemiskinan, Pertanian & Aduan Awam), Jeffrus @ Maimin Rijan (Pengerusi Hal Ehwal Sabah & Sarawak) dan Mohd Nasir Abdullah.

Ketua Wira Putra kekal Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (Pengarah Program, Jabatan Pilihan Raya & Tugas-Tugas Khas), manakala Ketua Wiranita ialah Laila Norinda Maon dan Ketua Wirawati, Nurhafizah Jamalludin.

Ketua Bahagian Putra Raub, Rosdi Idris dilantik Setiausaha Agung dan Pengerusi Biro Pentadbiran Urusetia; Ketua Bahagian Gombak, Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif (Ketua Penerangan yang juga Pengerusi Biro Penerangan, Penyelidikan & Isu-Isu Semasa); dan Ketua Bahagian Sungai Buloh, Ashraf Rosli (Bendahari yang juga Biro Kewangan & Tabung Dana).

Seramai 15 ADT yang dipilih ialah Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin (Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam & Latihan Kepimpinan), Mohd Nasir Othman (Pengerusi Biro Pendidikan, Pelajaran & Bahasa Kebangsaan), Mohd Fauzi Zulkifli, Hamzah Abd. Rahman, Dr. Zarawi Sulong, Che Mohd Asemari Che Ali, Datuk Kamarul Airi Arifin, Datuk Ramle Mat Daly (Pengerusi Biro Kempen Keahlian), Datuk Mazlan Hashim, Norliza Md. Dewa, Lokman Hakim Abdul Halim, Omar Jaafar (Pengarah Kajian Dasar & Strategi), Nur Amani Ibrahim (Pengarah Komunikasi Media & Digital), Dr. Mohamad Izwan Zainal (Biro Ekonomi & Kos Sara Hidup) dan Mohd Tahir Kassim.

Manakala ADT dilantik ialah Naib Ketua Wira, Muhammad Fazreen Johari (Pengarah Gerak Gempur & Mobilisasi); Naib Ketua Wiranita, Juita Mustafa; Naib Ketua Wirawati, Datin Nur Munirah Abd. Manap; Brig. Jen (B) Adnan Abu Hassan, Zarina Zainal Abidin (Biro Hal Ehwal Undang-Undang, Perlembagaan & Parlimen), M. Azhar Palal dan Mohamad Hashidi Mohd Zin.

Pengerusi Tetap Putra ialah Razali Hussain; Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Dr. Nor Zamshuri Ramli, Pemeriksa Kira-Kira 1, Muhammad Ariq Mohammad Azman dan Pemeriksa Kira-Kira 2, Mohd Eaidy Abdul Hamid, manakala Syed Hassan Syed Ali (Jawatankuasa Disiplin).

Ibrahim menjelaskan, semua kepemimpinan baharu telah berbincang panjang dan membuat komitmen serta ikrar akan bergerak sebagai satu pasukan berasaskan semangat kesatuan fikrah dengan memegang prinsip ‘Kepimpinan Bersih dan Bermoral’.

“Kita juga berbaiah sesama pimpinan dan berikrar supaya tidak terlibat dengan kegiatan atau perbuatan tidak baik dari segi akhlak kerana Putra memegang teguh kepada prinsip bersih dan bermoral,” katanya.

Putra juga akan menjadikan Pengisytiharan Umat Islam yang dilulus dalam persidangan agung parti baru-baru ini sebagai naratif perjuangan kerana ia merangkumi semua aspek membabitkan kepentingan agenda Melayu dan Islam.

Related posts

Leave a Comment