TERENGGANU 16 Ogos – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memulakan tugas pada hari pertamanya, kira-kira pukul 9.05 pagi dengan mengetip kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Tingkat 16, Wisma Darul Iman.
Ketibaan Ahmad Samsuri disambut Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Idham Mustafa dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Mohd Hasbi Kyairi Ahmad Fuad serta pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar untuk penggal kedua, semalam.
Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, pada jam 3.18 petang.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu
Beliau yang juga Naib Presiden Pas sebelum ini dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada PRN lalu, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang disandangnya selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan memperoleh majoriti 17,286 undi.
Selepas menandatangani beberapa dokumen, Ahmad Samsuri ke tingkat U2 untuk mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).
Antara agenda mesyuarat kali pertama adalah pelantikan portfolio 10 Exco.
