Adu domba’ melantik MB Kerajaan Perpaduan

MENJELANG majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan baru-baru ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai siapa lebih layak dilantik sebagai Menteri Besar, sama ada PKR atau UMNO. Tidak pula DAP.

Ada yang ‘memetik’ nama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun untuk terus kekal sebagai Menteri Besar manakala satu lagi nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias.

Spekulasi ini timbul susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu di mana PH menguasai 17 kerusi manakala UMNO parti tunggal memperoleh 14 kerusi menyebabkan timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Aminuddin.

Benar PH menang 17 tetapi jika ikut pecahan parti, DAP mendahului 11 diikuti PKR (5) dan Amanah (1) manakala UMNO 14. Maknanya UMNO lebih layak sebagai Menteri Besar (MB) jika UMNO dianggap sebahagian daripada komponen PH.

Menariknya pada masa yang sama timbul pula ‘kenyataan palsu’ yang kononnya dikeluarkan oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, kedua-duanya dari UMNO.

Isi kandungannya hampir sama, akan mengambil satu ‘keputusan besar’ sekiranya BN tidak diberi peluang menerajui Negeri Sembilan. Mudah cakap, ia seperti ancaman atau ugutan kepada kepemimpinan Kerajaan Perpaduan.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO menafikan sekeras-kerasnya poster yang tular di media sosial kononnya beliau mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan daripada PKR.

“Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuma memecah belahkan kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan serta mencalar imej saya selaku Menteri Besar Pahang dan Naib Presiden UMNO,” katanya.

Saarani pula menjelaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menasihatkan menghentikan politik fitnah dan adu domba begini.

“Pilihan raya umum dan negeri sudah selesai, wakil rakyat sudah dipilih. Ini masa untuk kita bekerja untuk rakyat, hentikanlah politik fitnah yang tidak menguntungkan apa-apa kepada rakyat dan negara,” katanya.

Turut muncul carta kedudukan pentadbiran kerajaan negeri yang menyenaraikan parti politik mana yang mengetuai negeri yang mungkin tujuannya untuk menunjukkan Bersatu masih gagal mempunyai wakil sebagai MB atau Ketua Menteri.

Carta menunjukkan Pas mendahului di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, diikuti BN di Perak, Pahang, Johor dan Melaka, manakala PH di Selangor (PKR), Negeri Sembilan (PKR) dan Pulau Pinang (DAP) dan Wilayah Persekutuan juga di bawah PH. Namun Perak dan Pahang pula bukan secara total atas ‘kejayaan’ BN.

Provokasi ini mungkin cuba ‘menjentik hati’ anggota UMNO supaya memprotes keputusan melantik wakil PKR yang hanya menang lima kerusi pada PRN di Negeri Sembilan itu.

Sebaliknya kemunculan kenyataan palsu pula seolah-olah mengajak masyarakat khususnya penyokong BN supaya memikirkan apa yang berlaku di Perak dan Pahang dalam menentukan siapa Menteri Besar.

Mungkin itu juga peringatan supaya formula perpaduan diterima di semua peringkat tanpa pertikaian yang boleh menjejaskan kesepakatan bersama.

Di Perak, pada PRU lalu, BN hanya menang sembilan kerusi berbanding PN 26 dan PH 24. Untuk menjadi kerajaan, ia memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.
Berdasarkan kedudukan itu tiada parti yang layak kecuali dua parti ‘bergabung’.

Akhirnya BN menyahut tawaran PH membentuk Kerajaan Perpaduan dengan jumlah 33 kerusi (24+9) dan diberi peranan mengetuai pentadbiran. Realitinya ia bukan kerajaan BN secara total.

Begitu juga di Pahang apabila tidak ada parti yang menang majoriti mudah selepas BN memperoleh 16 kerusi dan PN 17 manakala PH (8). BN kemudiannya menambah satu lagi kerusi di DUN Tioman menjadikan kerusi BN sama dengan PN, 17-17.

PH Pahang menjadi ‘penyelamat’ pembentukan kerajaan negeri apabila sebulat suara menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri. Gabungan ini secara jelas melayakkan wakil UMNO menerajui kerajaan negeri.

Bayangkan jika PH memilih PN, maka UMNO akan terlepas untuk mentadbir Pahang.

Mungkinkah kehadiran kenyataan palsu itu disengajakan supaya mereka yang mahukan UMNO memimpin negeri sedar dan insaf situasi yang berlaku sekarang bahawa dalam keadaan tertentu jumlah kerusi bukan satu jaminan.

Dan jika PH boleh berlapang dada menyokong Menteri Besar di Pahang dan Perak sebelum ini demi Kerajaan Perpaduan kenapa tidak BN, walaupun realitinya jumlah kerusi yang dimenangi UMNO jauh mengatasi PKR.

Kerjasama PH-BN bukan faktor penolakan pengundi

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menolak tanggapan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai faktor penolakan pengundi terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Sebaliknya Menteri Pengangkutan itu berkata, banyak faktor lain yang mempengaruhi pola pengundian itu.

Beliau mengambil contoh dalam konteks di Negeri Sembilan misalnya, kerjasama ini (PH-BN) telah membuahkan kejayaan yang besar, kita menang 31 daripada 36 kerusi.

“Ini suatu kejayaan besar dan bagi kita, model kerjasama di Negeri Sembilan telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dan majoriti yang selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kita berjaya tubuh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pelbagai pihak bahawa isu kerjasama PH-BN telah mempengaruhi keputusan pengundian dan menyebabkan pengundi, khususnya orang Melayu, memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRN, Sabtu lalu.

Terdahulu, beliau mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Terminal One, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu yang melanda kepemimpinan UMNO turut memberi impak kepada PH-BN, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, berkata perkara itu terpulang kepada persepsi masing-masing.

Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Chennah berkata, pihaknya menyerahkan kepada penganalisis untuk membuat analisis mengenai keputusan PRN di enam buah negeri.

“Dari segi penilaian (sokongan pengundi) itu saya serahkan kepada penganalisa, yang akan buat macam-macam analisis, terpulang lah kepada masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini fokusnya adalah kembali menjalankan tugas bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana pemenang telah ditentukan.

“Sekarang masanya untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, soal analisis kejayaan, kegagalan PRN dan sebagainya terpulang kepada penganalisa politik masing-masing,” katanya.

Pas kaji fail petisyen keputusan dipertikaikan

KUALA LUMPUR: Pas tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan petisyen terhadap keputusan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertikaikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang tidak mendedahkan kawasan ini berkata ,ketika ini Pas sedang meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kawasan yang dipertikaikan.

Dalam pada itu, Pas bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan atas kelancaran dan kejayaan perjalanan PRN negeri-negeri berkenaan.

“Pas percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pas turut merakamkan rasa terharu dan jutaan terima kasih kepada lebih 3.3 juta pengundi yang mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon PN yang memungkinkan gabungan itu mencapai kejayaan cemerlang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN dipertandingkan.

Secara khusus, katanya, PN berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah kerusi dan majoriti undi jauh lebih besar melebihi dua pertiga suara.

PN juga, katanya, mencapai kejayaan amat memberangsangkan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Pas bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri yang berada di bawah pentadbiran PN.

“Pada masa sama Pas akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan PH-BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment