Sanusi mungkin dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Polis sedang melengkapkan siasatan terhadap tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Sanusi mungkin dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan dan setakat ini pegawai penyiasat sedang meneliti dari segi perundangan untuk mengaitkan kesalahan itu mengikut kesalahan yang bersesuaian.

“Kita siasat apabila laporan dibuat dan beri peluang pegawai polis melaksanakan siasatan. Setakat ini, kita sedang melihat ‘cadangan-cadangan’ yang bersesuaian termasuklah mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihanraya,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siastaan Jenayah baharu di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.

Ditanya adakah terdapat kebarangkalian Muhammad Sanusi dituduh, Razarudin menjelaskan tindakan itu adalah tugasan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Muhammad Sanusi didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi SPR

Razarudin sebelum ini berkata, menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum, adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menentukan kerahsiaan dalam pengundian.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan sekiranya ada pihak tampil membuat laporan polis terhadap individu yang berbuat demikian.

Sanusi dalam reaksinya pada malam pengumuman keputusan PRN menjelaskan beliau tidak berniat untuk menayang kertas undi miliknya ketika mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku di luar kawalannya kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

“Tak terniat saya untuk pamer, tetapi bila kelam-kabut melayan permintaan rakan-rakan wartawan, bila saya pusing sana, pusing sini kertas itu terbuka, dia lipat dua, bila lipat nak masuk dalam tong, depa kata pusing sini dulu, saya pusing.

“Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya ‘tang’ (pada) gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi),” katanya

Bagaimanapun seorang pengamal undang-undang, Asiah Abd Jalil, menerusi perkongsian di Facebook, menyifatkan perbuatan Menteri Besar Kedah itu tidak menyalahi undang-undang.

Asiah ketika mengulas tindakan Sanusi itu, menyifatkan perbuatan terbabit tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika kita rujuk Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Bahagian VII ialah bahagian khusus mengenai Petisyen Pilihan Raya. Bahagian ini merangkumi Seksyen 33 sehingga Seksyen 42. Seksyen 39 – Larangan Mengenai Pendedahan Undi.

“Tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya,” katanya.

Beliau menegaskan, Seksyen 39 ini hanya beroperasi apabila ada petisyen pilihan raya difailkan.

“Apabila petisyen difailkan, dalam prosiding di Mahkamah Pilihan Raya kelak, sesiapa pun tidak boleh memaksa mana-mana pengundi memberitahu siapa yang diundi semasa pilihan raya tersebut. Itu maksud Seksyen 39 ini.

“Sanusi nak tayang kertas undi dia, takde siapa paksa, takde siapa suruh, takde siapa kehendaki, itu dia punya hal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment