Gandingan agamawan, teknokrat pimpin Kelantan

KOTA BHARU 15 Ogos –  Kelantan menampilkan tokoh agamawan dan teknokrat sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu selepas memenangi 43 daripada 45 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti,  Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar manakala ADUN Temangan, Dr Mohamed Fadzli Hassan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar.

Mohd Nassuruddin dan Mohamed Fadzli masing-masing mengangkat sumpah jawatan berkenaan pukul 5.30 petang di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Istiadat disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Roslan Abu Bakar; Speaker DUN Kelantan,  Abdullah Yakub; Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Ibrahim Deris.

Nassuruddin adalah Menteri Besar Kelantan ketiga selepas Pas mengambil alih Kelantan pada 1990.

Sebelum ini Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahmad Yakob.

Pada PRN Sabtu lalu, Nassuruddin mempertahankan kerusi DUN Meranti selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu mempertahankan kerusi berkenaan sejak 1999.

Nassuruddin yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir adalah Ketua Penerangan Pas Kelantan dan turut digelar Panglima Perang Pas Kelantan.

Mohamed Fadzli pula menggantikan Mantan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri itu mempertahankan kerusi DUN Temangan sejak 2008 iaitu selama tiga penggal.

Mohamed Fadzli adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan lepasan Doktor Falsafah di Universiti of Birmingham, United Kingdom.

Related posts

Leave a Comment