Dr Samsuri kekal MB Terengganu

KUALA TERENGGANU 15 Ogos – Naib Presiden Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua hari ini.

Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di Chendering di sini, jam 3.18 petang ini.

Sultan Mizan turut memperkenan pelantikan 10 anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri termasuk seorang yang mewakili Bersatu.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Beliau kali pertama dilantik Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Terengganu .

Ketika itu beliau pertama kali bertanding di kerusi DUN Ru Rendang menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Pada PRN Sabtu lalu pula, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi terbabit dengan majoriti 17,286 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman.

Beliau memperoleh 20,927 undi, manakala Suhaimi mendapat 3,641 undi.

Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden Pas yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 hingga 2018.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan insiden nahas pesawat MH17.

Related posts

Leave a Comment