Perancis beri amaran kenakan sekatan

SINGAPURA – Perancis memberi amaran mungkin akan mengenakan sekatan terhadap Israel sekiranya Tel Aviv gagal mengambil tindakan segera terhadap krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron Dalam lawatannya ke Singapura pada Jumaat, Macron menegaskan, komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri sementara rakyat Palestin di Gaza berdepan kebuluran yang semakin meruncing.

“Sekatan kemanusiaan ini mencipta situasi yang tidak tertanggung di lapangan,” kata Macron yang dalam lawatan ke Singapura pada sidang media bersama Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Beliau menambah : “Jika tiada respons dalam beberapa jam atau hari akan datang selaras dengan keperluan kemanusiaan, kita perlu memperkukuh pendirian kolektif,” sambil memberi isyarat bahawa Perancis mempertimbangkan sekatan terhadap peneroka Israel.

Kementerian Luar Israel dalam reaksinya menafikan dakwaan Macron dan menyifatkannya sebagai “pembohongan terang-terangan”, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai organisasi antarabangsa berkali-kali menyatakan bahawa Israel telah menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan sejak 2 Mac lalu.

Israel sebelum ini memaklumkan, ia akan membenarkan kemasukan minimum bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza atas tekanan antarabangsa, namun serangan ketenteraan terus dipertingkatkan di wilayah tersebut.

Bantuan yang masuk pula dikawal oleh sebuah pertubuhah bukan kerajaan (NGO) baharu yang mendapat sokongan Israel dan Amerika Syarikat, namun proses agihan turut dicemari insiden pengeboman dan tembakan terhadap rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan.

Dalam kenyataannya, Macron turut mempersoalkan andaian bahawa Israel masih mematuhi hak asasi manusia.

“Saya masih berharap kerajaan Israel akan mengubah pendiriannya dan akhirnya memberikan respons kemanusiaan yang sebenar,” katanya.

Presiden Perancis itu turut menekankan bahawa pengiktirafan negara Palestin adalah “bukan sahaja satu kewajipan moral, malah satu keperluan politik.”

Bagaimanapun , beliau menegaskan, penubuhan negara Palestin perlu dilakukan di bawah syarat-syarat tertentu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment