Kerjasama PH-BN bukan faktor penolakan pengundi

SEREMBAN 15 Ogos –  Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menolak tanggapan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai faktor penolakan pengundi terhadap gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Sebaliknya Menteri Pengangkutan itu berkata, banyak faktor lain yang mempengaruhi pola pengundian itu.

Beliau mengambil contoh dalam konteks di Negeri Sembilan misalnya, kerjasama ini (PH-BN) telah membuahkan kejayaan yang besar, kita menang 31 daripada 36 kerusi.

“Ini suatu kejayaan besar dan bagi kita, model kerjasama di Negeri Sembilan telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dan majoriti yang selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kita berjaya tubuh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pelbagai pihak bahawa isu kerjasama PH-BN telah mempengaruhi keputusan pengundian dan menyebabkan pengundi, khususnya orang Melayu, memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRN, Sabtu lalu.

Terdahulu, beliau mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Terminal One, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu yang melanda kepemimpinan UMNO turut memberi impak kepada PH-BN, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, berkata perkara itu terpulang kepada persepsi masing-masing.

Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Chennah berkata, pihaknya menyerahkan kepada penganalisis untuk membuat analisis mengenai keputusan PRN di enam buah negeri.

“Dari segi penilaian (sokongan pengundi) itu saya serahkan kepada penganalisa, yang akan buat macam-macam analisis, terpulang lah kepada masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini fokusnya adalah kembali menjalankan tugas bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana pemenang telah ditentukan.

“Sekarang masanya untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, soal analisis kejayaan, kegagalan PRN dan sebagainya terpulang kepada penganalisa politik masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment