Gabungan baharu MB, Timbalan MB Kelantan

KOTA BHARU 14 Ogos – Gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang baharu tidak membabitkan gabungan sedia ada, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Beliau yang memberi bayangan itu berkata, Menteri Besar adalah individu berpengalaman dan semestinya dipilih daripada salah seorang Exco sebelum ini.

“Gabungan Menteri Besar dan Timbalan sebagaimana yang saya katakan sebelum ini iaitu seorang teknokrat dan agamawan.

“Tidak membabitkan gabungan sedia ada. Jadi terpulang kepada Sultan memilih calon Menteri Besar yang mana selepas senarai nama dipersembah oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat jawatankuasa harian Pas negeri dan pusat yang turut dihadiri Presidennya, Abdul Hadi Awang lewat malam tadi.

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memberi gambaran nama Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah tidak tersenarai dalam calon yang akan dipersembah kepada Sultan Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, soal calon Menteri Besar dan timbalannya serta barisan Exco sudah dianggap selesai setakat ini selepas Pas Pusat mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi Pas Kelantan.

“Di pihak parti, parti hanya akan mengangkat nama yang dirasakan sesuai untuk Tuanku lantik dan senarai nama berkenaan akan dipersembah esok.

“Proses pemilihan berjalan lancar dan mendapat persetujuan pimpinan parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment