Tugas berat dua wakil PH-BN Kelantan

KOTA BHARU 13 Ogos – Dr Hafidzah Mustakim, bertekad untuk memberi impak dari segi semak dan imbang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, demi kepentingan rakyat.

Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu yang memenangi kerusi DUN Kota Lama, menyifatkan kemenangan dua kerusi gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan termasuk DUN Galas yang dimenangi Shahbudin Hashim dari BN sebagai tugas berat.

Walaupun menjangkakan bakal berdepan dengan cabaran yang hebat, beliau yakin gabungan PH-BN, khususnya kepemimpinan tertinggi dapat membantu wakil dari dua DUN itu dalam menjalankan tanggungjawab.

“Saya tidak bergerak sendirian kerana parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini akan membantu melaksanakan kerja-kerja untuk rakyat.

Kita merasai itu adalah satu cabaran tapi walau hanya dua kerusi, kita akan beradu tenaga dan ini adalah satu sinergi yang mantap sebab di belakang kami adalah satu kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan yang begitu teguh.

“Jadi dengan kekuatan itu, dua kerusi ini memberikan satu impak semak dan imbang untuk memastikan perjalanan sidang DUN kali ini adalah benar-benar untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di pejabat badan perhubungan UMNO, di sini.

Dr Hafidzah juga menganggap kemenangannya merampas kerusi itu sebagai menebus dua kekecewaan sebelum ini.

Beliau yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kota Bharu dan pada PRU sebelumnya pula kerusi DUN Tanjung Mas, namun kedua-duanya gagal.

Dr Hafidzah berkata, kemenangannya kali ini adalah hasil gabungan PH dan BN yang menjadikannya lebih kuat, selain gerak kerja jentera yang bertungkus lumus memastikan kemenangannya.

“Sudah tentu ia dapat tebus kekalahan sebelum ini tapi saya rasa kelainan kali ini adalah adanya gabungan PH-BN itu yang membuatkan kita lebih kuat,” katanya.

Keputusan PRN Kelantan menyaksikan Dr Hafidzah berjaya merampas kerusi DUN Kota Lama yang selama ini milik Pas dengan memperoleh 9,691 undi mengalahkan tiga lagi pencabar lain dengan majoriti tipis 202 undi.

Related posts

Leave a Comment