MUDA terima dengan hati terbuka

PETALING JAYA 13 Ogos – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam yang menyaksikan parti itu bukan sahaja tewas kesemua 19 kerusi malah hilang wang deposit.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas segala kesilapan dan percaya kekalahan kali ini akan mematangkan mereka sebagai pemimpin muda.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka dalam melangkah ke hadapan dan PRN ini adalah langkah sulung dalam perjalanan MUDA yang masih panjang dan parti itu seharusnya menghormati mandat rakyat.

“Saya fikir calon-calon telah mencuba sebaik mungkin dan selaku Presiden saya perlu melakukannya dengan lebih baik. Ini merupakan pengalaman yang memberikan pengajaran buat MUDA,” katanya semalam.

Beliau mengakui banyak kekangan yang dihadapi apabila bergerak secara solo dan usaha ini bukan sesuatu yang mudah apabila MUDA terpaksa menghadapi pelbagai rintangan termasuk pendanaan, persiapan dan jentera.

MUDA menganggap ini sebagai satu permulaan untuk terus melangkah ke hadapan untuk mengetengahkan pemimpin muda yang akan terus memainkan peranan semak dan imbang.

MUDA bertanding dengan menurunkan 19 calon iaitu 10 wanita dan sembilan lelaki dengan calonnya meliputi 14 di Selangor, tiga di Pulau Pinang dan satu masing-masing di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Related posts

Leave a Comment