Raja Felipe VI faham kenarahan rakyat

PAIPORTA, VALENCIA – Raja Felipe VI dari Sepanyol menyatakan baginda memahami kemarahan dan kekecewaan yang diluahkan rakyat negara itu khususnya penduduk di sini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Baginda yang melawat kawasan banjir itu menyifatkan ia “bencana besar” yang meragut lebih 200 nyawa penduduk di wilayah Paiporta.

“Saya memahami kemarahan dan kekecewaan mereka,” titah Raja Felipe VI buat pertama kali secara terbuka susulan kunjungan baginda ke lokasi bencana banjir di sini, yang disambut dengan cemuhan dan kemarahan rakyat.

Ahad lalu, dalam kunjungan itu, ratusan penduduk bertindak mencemuh dan membaling telur ke arah Raja Felipe dan Ratu Letizia ketika pasangan diraja itu turun padang meninjau keadaan mangsa banjir.

Penduduk marah kerana bantuan lewat diterima sehingga meragut lebih 200 nyawa.

Dalam pada itu, Raja Felipe juga berhadapan dengan laungan “pembunuh” ketika melawat Paiporta yang dilanda teruk, bersama Perdana Menteri, Pedro Sanchez dan Gabenor wilayah Carlos Mazon apabila penduduk tempatan menuduh pihak berkuasa gagal menguruskan bencana alam yang paling teruk pernah berlaku itu.

Dalam video yang dikongsi di akaun Instagram istana diraja, baginda menyeru orang ramai di seluruh negara untuk bersama-sama memberi harapan dan jaminan untuk mendampingi mangsa-mangsa banjir pada saat-saat yang sukar ini.

Related posts

Leave a Comment