Misi perkukuh kubu gerakan reformasi di Permatang Pauh

KELMARIN , Anwar Ibrahim turun lagi ke Parlimen Permatang Pauh. Tidak pasti kali ke berapa selepas dilantik menjadi PMX. Jelaslah Permatang Pauh tidak boleh dilupakan kerana di situlah naik jatuh politiknya serta isteri dan anaknya sejak 1982.

Sebelum ini, pada 23 Januari lalu, ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda, Anwar meluahkan keyakinan Parlimen Permatang Pauh tetap menjadi kubu kuat gerakan reformasi negara.

“Saya tidak pernah lupa walaupun saya pindah ke (Parlimen) Port Dickson, Tambun tetapi asas kekuatan tetap Permatang Pauh. Tidak boleh lupa kerana terlalu lama jatuh bagun di sini,” katanya.

Maka apabila selepas 40 tahun kerusi yang sinonim dengan legasi keluarga Anwar itu jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, beliau mahu menebus kekalahan itu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Malam semalam, ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Himpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menebus kekalahan pada PRU15 dengan memastikan kemenangan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PMX yang juga Pengerusi PH merangkap Presiden PKR itu menghormati keputusan rakyat Permatang Pauh pada PRU lalu biarpun sedih dengan kekalahan PKR, khususnya melibatkan Puteri reformasinya Nurul Izzah.

Pastinya lebih pedih apabila para pengundi seolah-olah menghadiahkan kekalahan Permatang Pauh sebagai hadiah hari ulang tahun kelahiran Nurul Izzah pada 19 November 2022.

“Tak apalah baru-baru ini kita kalah di Permatang Pauh…Dalam banyak-banyak saya sedih juga sikit, tapi tak apa keputusan itu saya hormat.

“Namun, kali ini (PRN Pulau Pinang) saya minta (DUN) Penanti, Permatang Pasir, Seberang Jaya dan juga calon di kawasan lain perlu bagi kemenangan bergaya kepada PH,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Sebelum ini, pada PRU14, selain memenangi Parlimen Permatang Pauh, PH menguasai kawasan P044 itu melalui PKR yang menguasai DUN Penanti dan Seberang Jaya manakala Amanah memenangi DUN Permatang Pasir.

Nurul Izzah gagal mempertahankan Permatang Pauh selepas tewas kepada calon PN – Pas Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi dalam persaingan empat penjuru.

Hasil gerak kerja UMNO bahagian dengan motto Permatang Pauh Berubah, akhirnya pada PRU lalu, PKR kecundang tetapi yang peroleh hasilnya bukan UMNO sebaliknya PN. UMNO pula peroleh undi ketiga selepas PKR. Maka kemenangan mutlak milik Pas walaupun UMNO bekerja keras.

Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi, manakala Nurul Izzah mendapat 32,366 undi; calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang) hanya meraih 473 undi.

Kali ini di peringkat DUN, PH mendapat sokongan padu UMNO Permatang Pauh yang diketuai Mohd Zaidi walaupun UMNO bahagian terpaksa ‘berputih mata’ untuk mendapat satu kerusi sebagai rakan Kerajaan Perpaduan.

Jika November 2022, UMNO betul-betul pulun berkempen untuk menghumban PKR di Permatang Pauh seterusnya mengubah landskap politik di situ tetapi kali ini fokus UMNO untuk menangkan PKR dan Amanah.

Tidak ada lagi misi Berubah di DUN Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya. Cukup setakat Parlimen Permatang Pauh Berubah. Mungkin inilah platform terbaik UMNO sebagai rakan Kerajaan Perpaduan membantu PH mengukuhkan kedudukan di Permatang Pauh.

Persoalannya selepas Permatang Pauh berubah, adakah pengundi khususnya anggota UMNO dan pengundi atas pagar di tiga DUN Permatang Pauh sekali lagi akan melakukan perubahan? Berubah dari PH kepada PN. Jika ini berlaku bertambahlah kekecewaan PMX dan juga Presiden Amanah Mohamad Sabu yang pastinya ‘malu’ balik kampung.

Berdasarkan keputusan PRU14, PH tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan tiga kerusi itu tetapi pada masa yang sama tidak boleh melupakan “kekalahan bergaya” bagi kerusi Parlimen pada PRU15.

Pada PRN kali ini, Amanah mengekalkan penyandang, Muhammad Faiz Fadzil untuk
mempertahankan kerusi Permatang Pasir yang sebelum itu, pada PRU13 dimenangi calon Pas, Salleh Man.

Faiz memperoleh 9,708 undi, menang dengan majoriti 2,981 mengalahkan calon BN dan Pas yang masing-masing memperoleh 4,979 dan 6,727. Kali ini Faiz akan dicabar oleh Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Permatang Pauh, Amir Hamzah Abdul Hashim.

Bagi kerusi Penanti, muka baharu PKR, Rosidi Hussain menggantikan Dr. Norlela Ariffin yang mewakili kawasan itu selama tiga penggal. Rosidi akan berhadapan Zulkefli Bakar (PN-Bersatu) yang pernah bersama Pemuda UMNO Permatang Pauh.

Pada PRU lalu, Dr Norlela memperoleh 8,221 undi dengan majoriti 2,944 mengalahkan calon UMNO dan Pas yang masing-masing memperoleh 5,277 dan 4,791 undi.

Manakala, di Seberang Jaya, muka baharu diturunkan PKR selepas dimenangi Dr. Afif Bahardin yang menang dengan majoriti 7,421 undi mengalahkan calon BN – UMNO dan Pas yang masing-masing memperoleh 8,593 dan Pas 5,540 undi.

Johari Kassim akan berhadapan dengan Izhar Shah Arif Shah yang mewakili PN – Bersatu. Kerusi ini menarik perhatian kerana Izhar adalah anak bekas ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah selama dua penggal (2004 hingga 2013).

Berdasarkan keputusan PRU lalu, tidak ada masalah PH untuk mempertahankan tiga kerusi itu jika pengundi atau penyokong PH tidak beralih arah. Kehadiran UMNO pula dapat membantumenambah jumlah undi yang diperoleh calon-calon PH.

Persoalannya bagaimana jika penyokong PH beralih arah disebabkan tidak dapat menerima kerjasama dengan UMNO? Andaian ini terlalu ‘nipis’ kerana mereka sudah melihat Kerajaan Perpaduan terbentuk hasil sumbangan UMNO. Yang penting kuasa.

Sebaliknya bagaimana pula dengan penyokong UMNO? Adakah mereka ‘berpecah’ ketika mengundi? Banyak faktor yang mendorong ke mana undi anggota UMNO.

Tidak dinafikan kebanyakan anggota UMNO akan mengikut arus yang dibawa oleh ketua. Mereka sudah melupakan rentak kempen mahu menghumban PKR di pentas politik lapan bulan lalu. Seperti tema Berubah ketika PRU lalu pendirian mereka juga berubah. Pedulikan apa orang kata “Undi PH dapat DAP” atau “No Anwar No DAP”. Sekali lagi yang penting kuasa.

Tetapi pada masa yang sama, ada juga yang tidak dapat menerima kerjasama BN-PH. Di peringkat pemimpin tidak ada masalah. Mereka lebih cepat ikut rentak dan irama tetapi di peringkat bawah berbelah bahagi. Sudah terlalu lama pemimpin UMNO ‘mendidik’ anggotanya menolak PKR dan DAP.

Tidak mustahil anggota parti yang masih keliru ini mengambil ketetapan untuk tidak keluar mengundi atau memilih PN atau pilih sahaja calon yang mereka kenal. Begitu juga dengan mereka yang di atas pagar. Jangan begitu.

Apa pun demokrasi memberi peluang untuk pengundi memilih. Dalam apa keadaan sekali pun, keluarlah mengundi. Di situ buat keputusan sama ada sebagai tanda sokongan atau protes secara senyap. Jangan sia-siakan undi anda!

Related posts

Leave a Comment