Hadi mimpi siang ke malam – Ahmad Zahid

TANAH MERAH: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak perlu bermimpi untuk merampas Putrajaya sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa PRN tiada kaitan langsung dengan kedudukan Putrajaya.

“Ini (Hadi) mimpi siang ke malam, dia mendakwa mahu mengambil Putrajaya macam mana kerana kita mempunyai 148 kerusi.

“Jika mereka menang sekali pun di enam negeri, mereka tidak mempunyai hak untuk mengambil alih Putrajaya. Ini PRN untuk membentuk kerajaan negeri dan tiada kaitan langsung dengan kedudukan Putrajaya.

Jika perkara ini yang asas pun beliau tidak boleh faham, saya fikir kelayakan beliau kurang untuk memimpin parti,” katanya selepas merasmikan Hari Potensi KEMAS dan Program Desa Cerdas, di sini, hari ini.

Malam tadi, berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, Negeri Sembilan, Abdul Hadi mendakwa kemenangan PN pada PRN  akan membolehkan berlakunya perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya.

Ahli Parlimen Marang berkata, penting untuk rakyat mencerminkan sokongan dengan memberi kemenangan kepada calon PN yang bertanding pada 12 Ogos ini serta orang Melayu mesti tunaikan hak mereka dengan keluar mengundi.

Mengulas kenyataan itu,, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menjelaskan pelbagai cara boleh dilakukan.

“Di negara kita, walaupun ada Akta Anti Lompat Parti, ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan.

“Begitu juga kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, memberitahu Bernama, andaian Ahmad Faizal Azumu adalah tidak betul.

Katanya, semua ahli Parlimen terikat dengan undang-undang Akta Lompat Parti.

Di bawah undang-undang Akta Lompat Parti itu,, mana-mana ahli Parlimen tidak boleh lompat parti secara individu kerana undang-undang berkenaan berkuat kuasa di peringkat Persekutuan walaupun ada beberapa negeri belum melaksanakannya.

Related posts

Leave a Comment