Feri baharu Pulau Pinang mula operasi

TANJONG 7 Ogos. – Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang bermula hari ini dengan kos tiket feri ditanggung Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selama sebulan sehingga 6 September bagi meringankan beban kewangan penumpang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, ketika mengumumkan demikian berkata perkhidmatan feri penting buat rakyat di negeri ini dengan 95 peratus daripada penumpang menggunakan medium pengangkutan itu untuk ke tempat kerja.

“Feri akan beroperasi setiap hari bermula 6.30 pagi di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), dan berakhir 9.30 malam manakala di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) feri  bermula 7 pagi dan berakhir jam 10 malam,” katanya pada sidang media di sini.

Empat feri dikenali nama Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar berulang-alik dari PSAH, Butterworth dan PRTU di sini.

Beliau berkata, sebanyak 68 trip dua hala disediakan setiap hari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit bagi waktu bukan puncak termasuk pada hari cuti umum dan hujung minggu.

Terdahulu, Kon Yeow turut menjadi antara individu terawal merasai pengalaman perjalanan pertama feri baharu yang tiba di PRTU pada pukul 6.45 pagi dan disambut oleh Pengerusi PPSB, Syed Mohamad Syed Murtaza.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, V Sasedharan berkata, pihaknya sedang mengkaji kadar tambang feri baharu itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan feri bagi perjalanan sehala dalam tempoh sebulan dan perkhidmatan feri baharu ini menyasar sebanyak 1.2 juta penumpang setahun bagi perjalanan sehala,” katanya.

Related posts

Leave a Comment