Peningkatan kes di NSW Australia

SYDNEY 15 Dis. – Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales, mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi Covid-19 dalam masa lebih dari dua bulan ketika pihak berkuasa cuba memerangi varian Omicron yang pantas menular.

Ini meskipun New South Wales membuat persiapan untuk menarik semula hampir kesemua sekatan.

Semalam negeri itu merekodkan 804 jangkitan baharu dalam masa 24 jam sehingga 8 malam, peningkatan 50 peratus dari hari sebelumnya.

Bagaimanapun jumlah itu meningkat kepada 1,360 hari ini dengan satu kematian.

Dalam usaha mengekang penularan Omicron, kerajaan Australia memutuskan untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan dos vaksin penggalak Covid-19 susulan peningkatan kes varian Omicron.

Australia akan menggunakan kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna dalam program suntikan penggalak.

Negara itu adalah antara negara dengan penduduk paling ramai divaksin, dengan sekitar 90 peratus orang melebihi 16 tahun sudah lengkap divaksin.

Dalam pada itu, syarikat pengeluar ubat Amerika Syarikat, Moderna Inc, bakal menghasilkan jutaan dos vaksin mRNA setahun di Australia selepas bersetuju membina kemudahan pengilangan terbesarnya di luar Amerika dan Eropah.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, berkata, kilang di Victoria itu dijangka menghasilkan sehingga 100 juta dos vaksin mRNA setiap tahun apabila ia mula beroperasi pada 2024.

“Dengan perkongsian baharu ini, kami sedang membina keupayaan kami untuk mengeluarkan vaksin di Australia,” kata Morrison

Related posts

Leave a Comment