Hilang di pentas ceramah, muncul di padang bola

ALOR SETAR 7 Ogos – Selepas ‘hilang’ di pentas ceramah berikutan dakwaan ‘direhatkan’, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor ‘turun padang’ petang ini dengan beraksi di Padang Felda Teloi Timur.

Dalam hantaran di Facebooknya, beliau memaklumkan kehadirannya dalam perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Teloi Timur dan pasukan pilihan Menteri Besar.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Muhammad Sanusi memohon maaf atas ketidakhadiran beliau dalam dua program ceramah politik berturut-turut disebabkan kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat di ibu negara.

Kata, p, ia tiada kaitan dengan spekulasi mendakwa dirinya ‘direhatkan’ oleh kepemimpinan Pas Pusat gara-gara lantang bersuara dalam kempen ceramah pilihan raya negeri (PRN).

“Saya perlu hadir mesyuarat Pas Pusat dan beberapa mesyuarat lain di Kuala Lumpur. Saya pergi dengan kereta dan balik sampai lewat, sudah tentu tidak dapat hadir program yang sepatutnya saya dijadualkan hadir. Mana boleh, kena rehat lah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Sanusi juga menolak andaian pihak-pihak tertentu yang mendakwa beliau mengurangkan aktiviti kempennya disebabkan terdapat ugutan mahupun diberikan arahan mengunci mulut sehingga hari mengundi.

“Semua dakwaan di atas adalah tidak benar,” katanya.

Semalam , Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah di Taman Ria memaklumkan, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen tersebut bagi memastikan keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu terjamin.

Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah bagi mengelak ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh politiknya.

Muhammad Sanusi menjelaskan, aspek keselamatan yang dimaksudkan adalah berkaitan langkah-langkah keselamatan yang diambil parti bagi mengelak kecelakaan.

“Keselamatan itu antaranya tak bolehlah bawa kereta laju-laju nak bagi cepat sampai. Pas Kedah ambil langkah-langkah keselamatan bagi mengurangkan aktiviti saya supaya tak terkejar-kejar ke sana sini. Macam-macam boleh terjadi dalam perjalanan.

“Namun ada juga pesanan-pesanan dan langkah-langkah (keselamatan) lain yang perlu dirahsiakan,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan tidak hadir ke program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam Taman Serai Wangi, Padang Serai pada Sabtu, sebelum tular kononnya beliau ditahan oleh polis.

Dalam hantaran Facebooknya awal pagi ini, beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat hadir ceramah berkenaan.

“Maaf tak dapat hadir (ceramah). Insya-Allah kita akan bertemu lagi. Kepada semua rakan dalam parti, kuatkan lagi kerja untuk menarik lebih ramai pengundi PN.

“Jangan lupa bermunajat kepada ALLAH SWT. Insya-ALLAH, kita akan sama-sama bertakbir dan bertasbih atas kemenangan kita pada 12 Ogos nanti,” jelas Muhammad Sanusi.

Related posts

Leave a Comment