Hampir 1 juta lawat Sabah dalam 5 bulan

SANDAKAN 6 Ogos – Sektor pelancongan di Sabah menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini berikutan kedatangan 988,680 pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu meningkat kira-kira 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat bagi tempoh yang sama, pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memulih dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini.

Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah.

“Daripada 988,680 pelawat yang datang, seramai 282,450 adalah pelancong antarabangsa manakala 706,230 pelawat tempatan. Anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong ke Sabah, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion,” katanya sempena Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri, Datuk Seri Jeffrey G. Datuk Kitingan.

Kerajaan negeri katanya komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.

“Pelbagai usaha diambil adalah ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk pelancong domestik atau lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara.

“Setakat 1 Ogos 2023, sebanyak 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap minggu, manakala 353 penerbangan domestik,” katanya.

Ketua Menteri juga berkata, Festival Sandakan 2023 bertemakan “Jom Jelajah Sandakan” adalah antara usaha untuk menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah, selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lalu.

Katanya, Sandakan mempunyai banyak destinasi pelancongan yang dikenali bukan saja pelancong tempatan malah antarabangsa.

Daerah ini terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi eko-pelancongan di Sabah contohnya, Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu serta Borneon Sun Bear Conservation Centre, Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary, Sandakan Heritage Trails, Sandakan Memorial Park dan Puh Jih Shih Temple.

Related posts

Leave a Comment