Mengundi adalah wajib

KOTA BHARU 5 Ogos –  Mengundi adalah wajib yang tidak boleh ditangguh bagi mendapatkan kuasa politik untuk mempertahankan Islam, kata Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Justeru , beliau mengingatkan semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti.

Merujuk mengundi tidak boleh ditangguh, Abdul Hadi mengambil contoh kisah Nabi yang sanggup menangguhkan ibadah umrah hanya kerana mahu merasmikan perjanjian Hudaibiah untuk mendapatkan kuasa politik dan selepas itulah baru menunaikan umrah.

“Hukum wajib ini ada dua perkara iaitu wajib yang boleh ditangguh dan tidak boleh ditangguh.

“Sebagai contoh isteri yang kematian suami perlu menjalani edah dan pada masa sama dia mempunyai wang untuk menunaikan haji. Jadi jalani edah dulu baru pergi haji. Ini dinamakan wajib yang boleh ditangguh.

Wajib yang tidak boleh ditangguh pula seperti untuk mendapatkan kuasa politik, kena mengundi, kalau tidak kita akan kalah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh, di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir, Setiausah Agung Pas,  Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN),  Annuar Musa.

Ahli Parlimen Marang itu berharap semua pengundi dapat menunaikan kewajipan mengundi bagi mempertahankan Islam.

“Kita sudah berjaya jadikan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebagai kubu yang kita bina sekarang. Apa yang penting kita dapatian lagi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan kemudian Kerajaan Pusat Insya-Allah.

“Sebab itu tanggungjawab menegakkan politik orang Islam sangat besar yang mesti kita tunaikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment