Pas mohon maaf insiden Dominic di Sungai Dua

KUALA LUMPUR 4 Ogos –  Pas merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan,  Dr Dominic Lau, yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor, yang turut dihadiri oleh Presiden Pas baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata walaupun Dr. Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau “diminta keluar” dari situ , namun bagi kepemimpinan Pas Pusat, kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

“Selain itu, parti pimpinannya Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Takiyuddin, pemilihan Dr Dominic sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti selepas melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan.

Beliau berkata, Pas amat sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan bagi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

Justeru, semua ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepemimpinan parti yang diketuai oleh Abdul Hadi Awang.

“Saya menyeru ahli-ahli Pas berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden Pas sendiri,” katanya.

Takiyuddin berkata, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam tertua dan besar, Pas bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak yang memerlukannya.

“Berdasarkan latar belakang itu, Pas melihat Dominic dan parti pimpinannya tergolong kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu.

“Pas berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti itu dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi, sekali gus mengetepikan sementara perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan yang akan membolehkan kita meraih kejayaan lebih besar dan bermakna.

“Sewaktu negara dan nusa memerlukan kita berbakti kepadanya, sewajarnya dengan tulus dan bertanggungjawab, kita menyahut seruan itu dalam kerangka satu suara dan satu tekad yang sebaik-baiknya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment