MBI Kedah minta Saifuddin betulkan fakta

ALOR SETAR 4 Ogos – Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail dituntut memperbetul kenyataannya dalam isu berkaitan unsur nadir bumi (REE) serta berhenti daripada terus menyebarkan kenyataan yang mengelirukan umum.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah berkata pihaknya akan menyerahkan perkara berkenaan kepada proses perundangan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil Saifuddin.

“Terdapat penularan video di media sosial melalui platform Tiktok dan Facebook berhubung kenyataan Saifuddin mengenai REE dan MBI Kedah.

“Lanjutan itu, MBI Kedah membuat penelitian terhadap klip-klip video tersebut dan terdapat dakwaan dan kenyataan yang mengelirukan,” kata MBI.

Mengulas lanjut,, kenyataan dibuat Saifuddin antara lain yang mendakwa Pengerusi MBI Kedah dikenakan kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong di Sik serta melabel menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pencuri.

“Kenyataan (dibuat) pada 15 Julai lalu di Padang Awam Guar Cempedak (sedangkan) surat (tawaran kompaun) tersebut dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kepada MBI Kedah dan pihak Ho Chung Meng.

Surat dialamatkan kepada MBI Kedah kerana pemegang lesen ladang hutan yang sah, manakala Chung Meng mengakui kesalahan mencuri dan telah membayar denda. Tiada nama Pengerusi MBI Kedah seperti disebut Saifuddin,” katanya.

MBI berkata, pada 26 Julai di Pusat Operasi Pilihan Raya DUN Belantik pula, Saifuddin membuat kenyataan ‘Huang Zhi Yi, warga negara China yang kerja dengan MBI’.

“Dia bukan pekerja MBI Kedah. Proses pengambilan pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pemohon perlu melalui temu duga serta pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan.

“Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Zhi Yi sehingga kini. Oleh itu, MBI Kedah menafikan warga China itu sebagai pekerja MBI Kedah,” kata MBI.

Saifuddin turut mendakwa majikan Zhi Yi adalah MBI Kedah dan dibawa masuk oleh Muhammad Sanusi, namun perkara itu tidak benar kerana tiada kontrak perkhidmatan dikeluarkan atas nama Zhi Yi.

Malah, pada tarikh dan waktu sama, kenyataan Saifuddin bahawa Muhammad Sanusi memberi kebenaran kepada MBI Kedah untuk meneroka Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang juga mengelirukan dan tidak benar.

“MBI Kedah JV Jaentique Sdn Bhd telah mendapat surat kelulusan Projek

Pembangunan Ladang Hutan di sebahagian Kompartmen 12, hutan itu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Mei 2016.

“Kerajaan Negeri Kedah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah telah meluluskan kawasan pada November 2015. Menteri Besar pada ketika itu bukanlah Muhammad Sanusi seperti dinyatakan Saifuddin,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment