KAJANG 4 Ogos – Universiti Islam Selangor (UIS) melalui anak syarikatnya KUISCELL akan menganjurkan Kursus Intensif Bahasa Arab di Madinah dengan kerjasama Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selama 25 hari mulai 3 November depan.
Program Kibar Madinah 4.0 dengan motto Menelusuri Jejak Bahasa Rasulullah itu, menawarkan tempat kepada 90 orang peserta dengan anggaran kos antara RM20,699 sehingga RM25,999 seorang.
Bagi tujuan itu satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua belah pihak berlangsung di Dewan Senat UIS, Bandar Seri Putra dekat sini hari ini.
Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, melalui program itu, peserta berpeluang menyertai kursus intensif Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah selama 25 hari.
Katanya, baki lima hari pula adalah bagi para pederta menunaikan ibadah umrah di Makkah di bawah bimbingan mutawwif kelahiran UIS.
“Peserta juga dibawa ke tempat-tempat ziarah yang istimewa di Madinah dan Makkah di samping aktiviti-aktiviti harian yang lebih mendedahkan mereka kepada penggunaan Bahasa Arab Ammiyah (bahasa pasar).
“Program memasak di rumah penduduk tempatan juga akan duadakan bagi mendedahkan peserta kepada kefasihan penggunaan bahasa Arab,” katanya pada majlis itu.
Turut hadir Naib Canselor UIS, Prof Madya Dr Farid Ravi Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah KUISCELL, Mohamad Adzib Mohd Isa; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KUISCELL, Ahmad Fuad Mat Ali; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Md Daud Che Ngah; dan Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin.
Menurut Ida Riswana, program yang terbuka kepada semua peringkat usia sama ada orang dewasa atau remaja diharap dapat membuka jalan yang lebih luas kepada invididu yang ingin mahir dan fasih berbahasa Arab.
“Program ini seharusya direbut oleh anak-anak muda yang ingin menguasai Bahasa Arab, sekiranya mereka berhasrat merebut peluang memulakan karier di Arab Saudi dan negara-negara di Timur Tengah yang sedang giat memacu ekonomi dan pembangunan yang sangat pesat menjelang 2030,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, pakej yang disediakan itu lengkap untuk bayaran yuran universiti, tiket penerbangan, penginapan dan makan minum sepanjang 30 hari.
Ida Riswana seterusnya mengakui UIS yang sinonim dengan nama KUIS adalah institusi yang sangat istimewa pada Andalusia kerana di situlah lahirnya sebilangan besar para mutawwif, kakitangan dan petugas Haramain yang berkhidmat dengan Andalusia.
“Lebih 100 orang bekas pelajar kini berkhidmat sebagai mutawwif terbaik Andalusia dan menjadi idaman banyak lagi agensi lain,” katanya.
Sementara itu, Dr Farid Ravi dalam ucapannya menyambut baik program tersebut dan gembira kerana para peserta berpeluang mempelajari bahasa Arab,bahasa yang menghubungkan kita kepada Allah SWT di tempat sumber asalnya.
Katanya, langkah mempelajari bahasa Arab di negara Arab amat bertepatan dan berharap kerjasama seumpama itu diperkukuhkan lagi pada masa depan dengan program lain yang bermanfaat.
Nnn
Caption :
AHMAD Fuad Mat Ali dan Ida Riswana Idris menandatangani MoU Kibar Madinah 4.0 sambil disaksikan Mohamad Adzib Mohd Isa (kanan) dan Ibrahim Mat Sin.
