Ketua Pemuda UMNO Ketereh sokong PN

KOTA BHARU 4 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani yang juga anak kepada Annuar Musa antara pemimpin yang diumumkan keluar UMNO bahagian itu dan kini menyokong Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Ketua Wanita UMNO Ketereh, Sabariah Hamzah turut  keluar UMNO dan menyokong PN, diikuti pimpinan lain daripada UMNO Ketereh.

Perkara itu diumumkan Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) pada sidang media khas di kediamannya di sini, petang ini yang turut dihadiri Presiden Pas  Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan.

Afiq Amani bagaimanapun setakat ini tidak menyertai mana-mana parti politik sebaliknya menyatakan buat masa ini berehat daripada arena politik.

“Saya tidak mengumum menyertai Pas, saya hanya umum keluar daripada UMNO dan berehat daripada arena politik buat masa ini, harap maklum dan bantu betulkan,” kata Afiq melalui Facebooknya.

Terdahulu, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan Md Alwi Che Ahmad pada satu sidang media pagi ini mendakwa kumpulan yang akan lompat parti bagi menyertai PN adalah saudara mara Annuar.

Beliau dimaklumkan kumpulan itu membabitkan hampir 1,000 ahli UMNO cawangan Cabang Tiga Haji Musa di Ketereh.

“Walaupun ramai yang dikatakan akan keluar, namun cawangan berkenaan tidak boleh dibubar kerana ia bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita tengoklah pengumuman Annuar petang ini, namun apa yang saya boleh katakan, kumpulan berkenaan adalah saudara mara Annuar.

“Namun, anak Annuar, Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh dari cawangan berkenaan kekal bersama UMNO,” katanya.

Sementara itu Annuar turut mengumumkan beberapa nama tokoh dan bekas pemimpin UMNO yang menyertai PN.

Antaranya bekas Datuk Bandar Ipoh, Sirajuddin Salleh; Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli,  Mohd Ibrahim Abu Bakar dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk,  Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin.

Turut diumumkan pengisytiharan keluar parti oleh seluruh ahli jawatankuasa UMNO cawangan Cabang Tiga Haji Musa membabitkan 20 kepemimpinan termasuk Afiq Amani.

Annuar berkata ia akan disusuli dengan cawangan yang lain yang akan turut keluar UMNO.

“Jawatankuasa Cabang Tiga Haji Musa ditutup berikutan 20 jawatankuasa peringkat cawangan meletakkan jawatan. Pembubaran jawatankuasa ini akan dimaklumkan kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia).

“Saya sebagai bekas Ketua UMNO Bahagian dan Setiausaha Agung UMNO mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang memberi dokongan untuk menyertai saf perjuangan kita ini,” katanya.

Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, PN mahu menang dengan angka berpuluh-puluh ribu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“PN mahu jumlah undi yang banyak bukan sahaja di Ketereh, malah di seluruh Kelantan. Kita nak rakyat bersolidariti bersama Pas dan Bersatu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment