Hab umrah tingkat industri pelancongan Islam

KUALA LUMPUR 14 Julai – Industri pelancongan Islam di negara ini dijangka terus berkembang dan diperkasakan apabila Malaysia menjadi hab Umrah di rantau Asia termasuk China, Jepun dan Korea dalam masa yang terdekat.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, cadangan menjadikan hab umrah itu akan dibawa dan dibincangkan di peringkat Kabinet pada Ogos ataupun September tahun ini.

Katanya, MOTAC akan memberi penjelasan lengkap kepada Kabinet dan juga membincangkan apakah yang diperlukan supaya misi untuk menjadikan Malaysia hab umrah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Di Kabinet juga kita akan nyatakan apakah insentif atau yang diperlukan dari pihak kerajaan kerana Kabinet adalah badan berkuasa dan mereka boleh membantu memudahkan perjalanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia di Wisma Andalusia petang ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Andalusia Travel Ibrahim Mat Sin, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Ida Riswana Idris dan wakil beberapa syarikat penerbangan.

Sebelum ini Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya dalam perancangan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai hab umrah bertujuan menghimpun jemaah seluruh dunia khususnya di rantau Asia.

Tiong berkata, beliau dan pasukan di MOTAC akan mempromosikan program ini ke negara-negara tumpuan seperti China, Korea, Jepun, Thailand, Filipina, Indonesia dan negara-negara serantau untuk menarik mereka melancong ke Malaysia serta memproses visa sebelum mengerjakan umrah.

Timbalannya, Khairul Firdaus diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan perkara ini.

Khairul Firdaus berkata, Malaysia perlu mengambil peluang industri pelancongan Islam ini bagi menarik pelancong dari negara seperti China singgah di negara ini dalam perjalanan mereka menunaikan umrah.

“Sayang jika lepaskan peluang ini kerana Malaysia sudah terkenal sebagai negara Islam, jika hab ini dijalankan pihak-pihak terlibat seperti agensi umrah tempatan juga boleh memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya hab umrah berjaya dilaksanakan dan mendapat permintaan tinggi daripada orang luar, ia akan menyebabkan harga pakej umrah diturunkan dan secara tidak langsung membantu golongan kurang berkemampuan.

Katanya, paling penting apabila bakal jemaah dari negara luar yang hendak mengerjakan umrah, dapat singgah di Malaysia dan ini membantu penggiat industri mendapat keuntungan daripada inbound (dalam Malaysia) juga.

“Setakat ini banyak daripada kita (penggiat industri umrah) lakukan (untung) dari pakej outbound (luar Malaysia). Ini dia dapat dua-dua (outbound dan inbound),” ujarnya.

Khairul Firdaus juga yakin berdasarkan rekod agensi pelancongan di negara ini, umat Islam di negara luar tidak mempunyai sebarang keraguan untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan agensi tempatan.

“Tepat pada masanya untuk kita wujudkan hab ini supaya orang Islam melihat Malaysia sebagai destinasi percutian dan sebelum kerjakan umrah dan haji, ini tempat mereka menimba ilmu. Paling penting, mudahkan perjalanan,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment