Lagi kes rampasan hidupan liar dari Malaysia

NEW DELHI 1 Ogos –  Pihak berkuasa kastam di Lapangan Terbang Tiruchirappalli (Trichy) di selatan India merampas 47 ekor ular sawa dan dua biawak yang cuba dibawa masuk oleh seorang warga India yang tiba dari Kuala Lumpur.

Kesemua haiwan yang disembunyikan di dalam bagasi penumpang itu dirampas  di bawah undang-undang kastam dan perlindungan hidupan liar India dan akan dihantar pulang ke Malaysia.

Menurut laporan media tempatan, penumpang lelaki yang berasal dari Chennai, itu tiba di lapangan terbang itu dengan menaiki penerbangan Batik Air pada 29 Julai.

Sebelum ini pada April, Jabatan Kastam di  Lapangan Terbang Chennai menjumpai 22 ekor ular dalam bagasi seorang wanita yang tiba dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat AirAsia pada 28 April lalu.

Pihak berkuasa menemukan pelbagai spesies ular dan seekor sumpah-sumpah yang didapati dibungkus dalam bekas plastik lut sinar ketika melakukan pemeriksaan ke atas beg wanita itu.

Reptilia itu antara spesies yang mendapat permintaan tinggi dalam perdagangan hidupan liar haram di India dan rampasan seperti itu bukanlah perkara luar biasa.

Pada 23 Jun lalu, pihak berkuasa juga mematahkan cubaan menyeludup 6,850 spesies penyu bertelinga merah (Lihat foto) yang disembunyikan di dalam bagasi daftar masuk dua lelaki yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchi dari Kuala Lumpur.

Bertindak atas risikan, pegawai Unit Perisikan Udara Kastam (AIU) menahan dua penumpang itu di pintu keluar lapangan terbang dan selepas memeriksa bagasi, pegawai menemui penyu hidup bersaiz kecil disembunyikan di dalam kotak kecil.

Menurut laporan tahunan Direktorat Perisikan Hasil India, sebanyak 1,204 reptilia spesies eksotik seperti ular sawa, iguana, cicak besar, ular jagung dan kura-kura Afrika turut dirampas di lapangan terbang Chennai pada Oktober 2022.

(Foto pihak berkuasa kastam CBIC)

Related posts

Leave a Comment