Debat Ekonomi Rafizi – Syahir minggu depan

KUALA LUMPUR 1 Ogos –  Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang sebelum ini menolak pelawaannya untuk berdebat, menerima semula tawaran itu.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, sesi debat mengenai hal ehwal ekonomi itu dijadualkan berlangsung Rabu depan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Syahir telah menerima semula jemputan untuk berdebat selepas mendapat keizinan pimpinan beliau. Saya ucapkan terima kasih,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Rafizi turut memuat naik poster mengenai program dinamakan Debat Ekonomi yang  memaparkan gambarnya bersama Mohd Syahir, selain memangkah dua lagi foto pemimpin PN yang sebelum ini menolak pelawaannya iaitu bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Satu poster lain memaparkan 9 Ogos tarikh debat itu berlangsung yang mendapat kerjasam RTM dan Astro Awani.

Kelmarin, Rafizi mencabar Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas untuk berdebat dengannya.

Cabaran itu diutarakan oleh Rafizi selepas Mohamed Azmin dan Muhammad Sanusi yang digelarnya ‘Panglima Besar PN’ menolak pelawaan itu.

Rafizi berkata, platform debat adalah peluang bagi parti di negara ini membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat.

Sementara itu, Mohd Syahir, menerusi satu hantaran di Facebooknya memaklumkan, beliau bersetuju untuk berdebat dengan Rafizi selepas mendapat keizinan pucuk pimpinan Pas.

“Setelah mendapat perkenan, saya dengan ini menyatakan persetujuan. Format, moderator, tarikh dan tempat, YB Rafizi cadangkan. Tajuk ‘Malaysia Lebih Baik’ saya cadangkan’. Bismillah,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Beliau turut memuat naik e-mel bertarikh hari ini kepada Rafizi, mengenai persetujuan untuk menerima pelawaan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment