Rasuah: Bebaskan daripada layanan dua darjat

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pas menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli politik, termasuk dalam kalangan pemimpin negara yang terbabit perbuatan salah laku, khususnya rasuah.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khairuddin, ketika membuat gesaan itu berkata, Malaysia perlu bebas daripada layanan dua darjat terhadap isu rasuah.

“Jangan kerana ahli politik ini adalah pemimpin negara, kita tutup sebelah mata dan takut nak ambil tindakan. Tidak sepatutnya budaya korupsi terus dibiarkan berlaku, terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook semalam.

Khairil Nizam mendakwa, adalah jelas dan nyata budaya korupsi masih menebal dalam diri pemimpin utama di negara kita.

Beliau merujuk ucapan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam program bersama anak muda di Terengganu batru-baru ini yang mengumumkan kelulusan geran sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk Pasukan Motosikal Negeri Terengganu.

Ahmad Zahid juga menyebut, ‘itu baru saya, lepas ni Perdana Menteri naik (Terengganu), dia akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, belia mengikut gelombang biru dan merah yang ada di negeri Terengganu,”.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, juga menyeru golongan muda yang hadir mengundi “gelombang biru dan merah” pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, sambil menambah jumlah yang diperuntukkan mungkin ditambah bergantung kepada keputusan pilihan raya pada 12 Ogos.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menyifatkan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Beliau dilaporkan berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, ia berhak memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat dan jika peruntukan itu diluluskan Kerajaan Persekutuan, maka “tiada unsur rasuah.”

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata walaupun SPRM menegaskan pemberian geran inisiatif kerajaan bukan satu rasuah, namun dalam kes itu, Ahmad Zahid menyalahgunakan inisiatif kerajaan secara bersyarat.

Related posts

Leave a Comment