SEREMBAN 29 Julai – Keahlian Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek gugur apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan itu mencalonkan dirinya sebagai calon Bebas.
Naib Presiden PKR Aminuddin Harun berkata, meskipun setiap individu berhak membuat keputusan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, namun tindakan Dr Mohamad Rafie mengakibatkan keahliannya tergugur.
Aminuddin yang juga Menteri Besar bagaimanapun optimis keputusan bekas Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan itu tidak menjejaskan potensi kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Mohamad Rafie tidak disenaraikan sebagai calon unutk mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2018 dan digantikan oleh Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Berikutan tindakan Mohamad Rafie itu, DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah (PH-PKR) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin calon Perikatan Nasional (PN-Bersatu).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohamad Rafie bertanding mewakili PH menang dengan majoriti 1,360 undi di DUN berkenaan.
Sebelum ini, Mohamad Rafie selepas digugurkan membidas kepemimpinan parti yang tidak mencalonkannya mempertahankan kerusi itu pada PRN dan menuduh “seorang individu” berusaha menyingkirkannya daripada pentadbiran negeri.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui beliau bekerja keras membantu rakyat di kawasannya dan membangunkan negeri ini secara amnya.
“Setelah saya membuat muhasabah iaitu penilaian apa yang berlaku, penolakan saya untuk dicalonkan semula adalah kerana ada individu tertentu yang merasakan dirinya tergugat jika saya masih berada di dalam kerajaan Negeri Sembilan.
“Individu ini dan rakan-rakannya di peringkat pusat telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan saya dikeluarkan daripada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
