SIK 29 Julai – Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor akan memberi soalan tiap-tiap hari untuk dijawab Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa sering ‘menyerang’ pentadbiran kerajaan negeri sejak kebelakangan ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, menteri itu terlalu rajin menyiasat, justeru soalan itu akan memberi tugasan kepada Saifuddin untuk membuat siasatan tambahan.
“Saya ada soalan tiap-tiap hari untuk dia sehari satu, satu. Saya janjilah nanti saya akan tembak sehari satu, satu.
“Dia rajinkan siasat itu, siasat ini (sehingga) yang tak perlu, yang dah disiasat pun dia siasat lagi, dia rajin kita bagi dia kes untuk disiasat,” katanya selepas pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Jeneri Mahamad Suhaimi Man di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga penyandang kerusi DUN Jeneri bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN) Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Ditanya sama ada Saifuddin sudah menjawab soalan pendedahan beliau mengenai projek yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian besar di bawah pemerintahan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, beliau berkata setakat ini Saifuddin tidak menjawab sebarang persoalan didedahkan.
Sementara itu Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin menggunakan Jabatan Imigresen untuk mendaftar masuk hotel ketika kempen beliau di Langkawi semalam.
Katanya, tindakan Setiausaha Agung PKR itu adalah salah kerana menggunakan jentera kerajaan dalam kempen politik.
“Kelmarin (semalam) pun dia kempen di Langkawi guna Jabatan Imigresen ‘check in’ hotel… saya tahu… 15 bilik ambik, kan tata kelolo. Tak boleh tau, program parti guna agensi kerajaan… itu salah. Saya tak pernah buat kerja tu. Tak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.
“Jangan cakap lepas tu kita buat benda lain cakap tak serupa bikin minyak turun besok kan dah tak turun. Lepas tu orang marah dia marah orang balik.
“Jangan janji benda yang tak boleh. Saya pun tak pernah janji benar yang tak munasabah. Kan dah kantoi letih tu nak ‘cover’ tu saya tahu,” katanya.
Sebelum itu, menerusi Facebook beliau, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar invoice tempahan hotel di Langkawi di bawah nama Jabatan Imigresen.
Sementara itu, Muhammad Sanusi turut menjangkakan proses kempen selama dua minggu ini akan berlaku fasa serangan yang berterusan terhadap dirinya.
“Serang lah apa pun kan. Saya boleh jawab saya jawab, yang tak boleh jawab saya serah Allah.
“Kalau ada asas kita jawablah, peguam saya urus, dia pun dah maklum kata dia dah terima. Hari tu dia kata saya pencuri unsur nadir bumi (REE) lepas tu dia kata dicuri ja. Kan berbelit-belit tu, orang semua tahu jadi saya tak rasa bimbang sangatlah,” katanya.
Semalam, media melaporkan Saifuddin diminta menyiasat projek 99 East di Langkawi yang didakwa menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian ratusan juta ringgit.
Muhammad Sanusi, mendakwa projek pada 2007 di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, itu belum selesai sehingga merugikan kerajaan negeri dalam banyak aspek
