Bersih minta PM kawal anggota Kabinet

KUALA LUMPUR 29 Julai –  Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Kerajaan Madani mematuhi larangan 3C sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), melibatkan enam negeri kali ini.

Dalam kenyataannya, Bersih meminta kerajaan tidak menyalahguna kuasa dan membelakangkan amanah dalam membuat sebarang pengumuman dasar serta peruntukan daripada kementerian dan agensi Persekutuan sepanjang tempoh PRN.

Larangan 3C merujuk tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate).

Badan itu merujuk kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai peruntukan lebih setengah juta ringgit, di Dungun, semalam.

Ia membabitkan tambahan geran kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berjumlah RM100,000, RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Ahmad Zahid dalam ucapannya jelas mengenakan syarat dengan menyatakan jumlah peruntukan ini akan dinaikkan jika partinya menang pada PRN ini dan berkempen di hadapan belia yang hadir untuk memenangkan arus merah biru, yang merujuk kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya kali ini.

“Peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu dan bukan untuk semua badan seumpama itu di seluruh negara melanggar prinsip “tidak berkempen”, manakala kenyataan yang mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN terang-terang melanggar prinsip “tidak bersyarat.

“Ini berbeza dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai kerangka ekonomi baharu “Ekonomi Madani” yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mengaitkan sebarang peruntukan dengan sokongan politik

“Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri-negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan. Sudah tentu tidak boleh ada sebarang calon dalam upacara pengumuman. Sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta, ” kata kenyataan itu.

Bersih sebelum ini mencadangkan garis panduan 3C dalam aspek penggunaan sumber kerajaan menjelang PRN di enam negeri supaya ia tidak disalahgunakan dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Persekutuan, berbanding pihak lawan.

Justeru, Bersih menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengawal anggota Kabinetnya dan semua ketua agensi Persekutuan supaya tidak membuat pengumuman dasar atau peruntukan secara semberono, yang melanggar larangan 3C.

Menurut kenyataan itu, larangan 3C adalah untuk ‘menutup lubang’ bagi kerajaan bukan sementara, tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah masing-masing.

“Garis panduan ini bersama dengan etika kerajaan sementara harus dikanunkan sebagai Akta/Enakmen Keberkecualian Pentadbiran Dalam Pilihan Raya di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment