Ramasamy, Chong Eng gugur, Guan Eng kekal

TANJONG 25 Julai –  Selepas tiga penggal mewakili DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dr P Ramasamy yang sering menimbulkan kontroversi digugurkan daripada menjadi calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Timbalan Ketua Menteri II yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi yang diwakili sejak memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Bekas timbalan ketua pegawai eksekutif Eco World Development Group Bhd, Sundarajoo Somu akan menggantikan Ramasamy di kubu kuat DAP di Perai.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika mengumumkan senarai calon parti untuk Pulau Pinang itu turut menggugurkan empat Exco termasuk Ketua Wanita DAP yang juga penyandang DUN Padang Lalang, Chong Eng.

Tiga lagi Exco yang digugurkan adalah Phee Boon Poh (Sungai Puyu) yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bersara serta Yeooh Soon Hin (Paya Terubong) dan Soon Lip Chee (Bagan Jermal).

Phee, yang menjadi ADUN selama empat penggal, akan digantikan oleh anak perempuannya, Phee Syn Tze, sementara penyandang DUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen akan berpindah ke kerusi Padang Lalang bagi menggantikan Chong.

Turut digugurkan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid  (Seri Delima), pembantu Ramasamy Satees Muniandy (Bagan Dalam) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus) yang berundur disebabkan masalah kesihatan.

Sementara pemimpin yang dikekalkan termasuk Pengerusi DAP Lim Guan Eng (Air Putih) dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow (Padang Kota).

Penyandang lain yang dikekalkan adalah Heng Lee Lee (Berapit); H’ng Mooi Lye (Jawi); Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah); Teh Lai Heng (Komtar); Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat); Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Ong Ah Teong (Batu Lanchang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

Sementara itu, Loke menyeru jentera parti untuk bersatu supaya memiliki kekuatan untuk berhadapan dengan sebarang cabaran serta mengekalkan 19 kerusi sebagai KPI (petunjuk prestasi utama) pada PRN akan datang.

“Misi kita adalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dan sekiranya boleh, tambah satu atau dua lagi kerajaan negeri,“ kata Loke.

Katanya, jika misi ini dapat dicapai, beliau yakin negara akan menjadi semakin stabil di bawah Kerajaan Perpaduan dan sekali gus menjadikan Pulau Pinang terus maju ke hadapan.

Pada majlis itu, Loke juga mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding bagi PRN Kedah iaitu Teh Swee Leong bagi kerusi DUN Kota Darulaman dan Tan Kok Yew (Derga).

Berikut senarai calon DAP Pulau Pinang:

N7 Sungai Puyu – Phee Syn Tze

N8 Bagan Jermal – Chee Yeeh Keen

N9 Bagan Dalam – Kumaran Krishnan

N13 Berapit – Heng Lee Lee

N15 Padang Lalang – Gooi Zi Sen

N16 Perai – Sundarajoo Somu

N19 Jawi – H’ng Mooi Lye

N22 Tanjong Bunga – Zairil Khir Johari

N23 Air Putih – Lim Guan Eng

N25 Pulau Tikus – Woo Sze Zeng

N26 Padang Kota – Chow Kon Yeow

N27 Pengkalan Kota – Wong Yuee Harng

N28 Komtar – Teh Lai Heng

N29 Datok Keramat – Jagdeep Singh Deo

N30 Sungai Pinang – Lim Siew Khim

N31 Batu Lancang – Ong Ah Teong

N32 Seri Delima – Tan Hooi Peng

N33 Air Itam – Joseph Ng Soon Siang

N34 Paya Terubong – Wong Hon Wai

FOTO : Atas dari kiri P.Ramasamy, Chong Eng dan Phee Boon Poh manakala di bawah pengganti mereka dari kiri  Sundarajoo Somu, Gooi Zi Sen dan Phee Syn Tze.

Related posts

Leave a Comment