TANJONG 25 Julai – Pengguguran veteran dan penampilan muka baharu calon DAP bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bertujuan memberi nafas baharu kepada parti, kata Setiausaha Agung Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, terdapat keperluan memberi peluang kepada muka baharu menunjukkan bakat kepimpinan mereka dan ia adalah proses lazim yang berlaku dalam setiap parti politik.
“Pembaharuan akan berlaku setiap kali pilihan raya…itu proses biasa satu hari nanti mungkin satu (atau) dua pilihan raya akan datang saya juga akan digantikan.
Jadi DAP percaya bahawa parti lebih besar daripada mana-mana pemimpin individu. Tidak ada seorang pemimpin yang tak boleh digantikan, malah Lim Kit Siang juga bersara daripada (bertanding) pilihan raya.
“Jadi sebagai Setiausaha Agung, saya akan terus memastikan bahawa proses ini terus berlangsung dan DAP akan terus muda supaya kita terus dinamik dalam perjuangan politik kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah, di sini hari ini.
Dalam pengumuman itu, beberapa veteran DAP digugurkan termasuk Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan Exco kerajaan negeri yang juga Ketua Wanita DAP Chong Eng.
Menurut Loke, Ramasamy, 74, selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai sudah berkhidmat dalam jawatan itu selama tiga penggal, manakala tempoh perkhidmatan Chong Eng, 66, termasuk sebagai Ahli Parlimen ialah selama enam penggal sejak 1995.
Loke berkata, DAP mempunyai ramai tokoh muda berbakat yang boleh diketengahkan sebagai calon dengan secara keseluruhan parti itu mengambil pendekatan seimbang dalam menampilkan muka baharu dan lama agar terus membina kekuatan di Pulau Pinang.
“Ada keperluan beri peluang kepada muka baharu itu yang telah kita putuskan bagi membawa satu nafas baharu dan itu adalah proses yang perlu dilakukan dan DAP tidak akan teragak-agak dalam proses itu.
“Kalau kita gagal melaksanakan proses rejunivasi ini maka lama-kelamaan parti kita akan menjadi tidak relevan kita tak nak mencapai satu tahap kita sudah ketinggalan, baru kita buat pembaharuan,” tegasnya.
Ditanya ada kemungkinan individu tidak dicalonkan akan bertanding sebagai calon bebas, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku.
“Tapi memang prinsip kita kalau mana-mana ahli parti tanding bebas, mereka akan hilang keahlian mereka secara automatik,” katanya.
Loke turut yakin DAP mampu memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandingi berdasarkan rekod pencapaian parti itu selama 15 tahun mentadbir Pulau Pinang.
“Sudah tentu kami bukan menjadi bongkak, kami yakin untuk tunjuk kad laporan, keputusan, pencapaian kami untuk Pulau Pinang kepada umum dan dalam tempoh 15 tahun ini perkembangan negeri ini lebih baik,” katanya.
