The 1975: Tidak timbul isu lambat bertindak

KUALA LUMPUR 25 Julai –  Tidak timbul isu polis lambat bertindak susulan laporan berkaitan kumpulan pop rock The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, ada pihak mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lambat mengambil tindakan sedangkan kumpulan itu pulang ke negara asal selepas enam jam membuat persembahan.

“Insiden ini berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini.

Ayob Khan sebelum itu merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) katanya akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan.

“Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK.

“Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan

“Enam keterangan diambil dari pengadu, seorang penganjur dan enam Puspal. Setakat ini pihak polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya.

Jumaat lalu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes.

Terdahuli, pelawak kontroversi, Jocelyn Chia dilaporkan sekali lagi memperlekeh dan mempersenda kerajaan Malaysia susulan aksi biadab The 1975, yang membuat persembahan di sini, baru-baru ini, termasuk mempersoalkan mengapa tidak mengarahkan Interpol menahan mereka.

Dalam satu hantaran di Twitter semalam, Jocelyn secara sinis mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy dalam senarai individu yang disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia sebagaimana pernah dihadapinya sebelum ini.

“Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Namun, mana arahan supaya dia ditahan dan Interpol digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?

“Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)…atau apa sebenarnya…,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitternya, @JocelynChia.

Related posts

Leave a Comment